Hanya jumpa kepala mangsa dibaham buaya
Radhi Muslim
September 11, 2022 11:30 MYT
September 11, 2022 11:30 MYT
SANDAKAN: Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang hilang selepas disambar buaya di Sungai Seguntor, berdekatan Taman Kenari, Batu Tujuh, di sini, berjaya menemukan bahagian kepala mangsa, pada Ahad.
SAR memasuki hari ketiga itu, menemukan bahagian kepala mangsa berkenaan 300 meter dari lokasi lelaki, dikenali sebagai Abdul, dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, SAR dimulakan pada jam 7.30 pagi.
Pada jam 8 pagi, anggota badan mangsa itu ditemui terapung.
Anggota bomba kemudiannya membawa bahagian anggota badan berkenaan ke darat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, setakat ini SAR masih diteruskan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Jimmy berkata demikian dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan seorang lelaki yang baru pulang dari menunaikan solat Isyak di masjid berdekatan cuba menyeberang sungai menggunakan rakit untuk pulang ke rumahnhya kira-kira jam 8.50 malam, Jumaat.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan tiba-tiba disambar buaya sebelum dilaporkan hilang.