Hanya individu dalam senarai khas dibenar guna polis pengiring - Hamzah
Bernama
Mei 11, 2022 18:33 MYT
Mei 11, 2022 18:33 MYT
KUALA LUMPUR: Hanya individu dalam senarai khas dibenarkan menggunakan khidmat polis pengiring dan perlu mendapat kebenaraan Ketua Polis Negara kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
"Sebenarnya kami tidak membenarkan sesiapa yang tiada dalam senarai itu (guna khidmat polis pengiring) mendapat kemudahan sedemikian. Jadi kalau ada kesalahan yang dilakukan oleh anggota, kami akan ambil tindakan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu anak Ahli Parlimen didakwa menggunakan khidmat polis pengiring selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri PDRM Tahun 2022 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Hamzah berkata polis telah menjalankan siasatan dalaman secara terperinci dan hasil siasatan akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
"Orang yang menerima (khidmat polis iring) ini kalau ada melakukan mana-mana kesalahan kerana langgar apa sahaja undang-undang, kami akan ambil tindakan. Kami akan lakukan siasatan sebelum mendapatkan kepastian apa yang berlaku sebenarnya," katanya.
Mengulas sama ada isu khidmat polis iring ini mempunyai prosedur operasi standard (SOP) baharu, beliau berkata tiada sebarang SOP baharu dan perkara itu telah dijawab dalam Parlimen dan ia hanyalah masalah individu melakukan kesalahan menggunakan sesuatu (perkhidmatan) yang tidak sepatutnya digunakan.
Pada 8 Mei lepas, polis kontinjen Pulau Pinang membuka kertas siasatan tatatertib terhadap dua anggota polis trafik berhubung kejadian mengiringi kenderaan awam.
Menerusi klip video berkenaan, kedua-dua anggota polis itu sedang mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu oleh seorang anak Ahli Parlimen.
Paparan video berkenaan mendapat kecaman masyarakat yang tidak berpuas hati dengan individu terlibat menggunakan khidmat anggota polis trafik bagi meredah kesesakan jalan raya di Pulau Pinang.
Sementara itu, mengulas mengenai isu tular di media sosial mengenai Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman yang didakwa akan dibubarkan, beliau enggan mengulas isu berkenaan.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Tentera Udara Jen Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
-- BERNAMA