Hanya enam hari di taska, bayi maut dipercayai tersedak susu
Shuhada Abdul Kadir
Julai 23, 2018 19:16 MYT
Julai 23, 2018 19:16 MYT
Seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia dipercayai tersedak susu di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Bukit Baru Melaka, hari ini.
Dalam kejadian sekitar jam 12 tengahari, Yusof Al-Baihakki Zainal Abidin dikatakan dibawa ke unit kecemasan Hospital Melaka oleh pihak taska dalam keadaan tidak sedarkan diri, sebelum disahkan meninggal dunia 30 minit kemudian.
Bapa bayi malang itu, Zainal Abidin Deraman, berkata dia yang bertugas sebagai anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, dimaklumkan perkara itu oleh isterinya sebelum bergegas ke hospital.
Ujarnya, anak keduanya itu dihantar ke taska berkenaan sekitar jam 7 pagi dalam keadaan sihat.
Malah jelasnya, hari ini merupakan hari keenam bayinya dihantar ke taska tersebut.
Katanya, sebelum ini, Yusof dijaga selama dua minggu oleh ibu mertuanya selepas isterinya, Roslina Ismail, seorang guru berusia 34 tahun, memulakan tugas.
"Hari ini baru hari keenam (di taska). Tibanya saya di sini, doktor memberitahu anak dah meninggal.
"Menurut pihak taska, selepas anak saya diberi susu dalam pukul 8 lebih, dia tidur lama. Sampai dalam pukul 11 pagi, muka dia nampak biru. Mereka buat CPR sebelum menghantarnya ke hospital.
"Itu taska punya cerita, lah," kata Zainal Abidin yang juga berusia 34 tahun.
Dalam sebak ujarnya lagi, sebagai bapa tentunya dia terkilan dengan insiden tersebut memandangkan dia dan isteri menunggu lapan tahun untuk mendapatkan zuriat kedua.
Bagaimanapun, katanya dia redha dan enggan menuding jari pada mana-mana pihak dan menyerahkan segalanya kepada pihak berkuasa.
"Saya redha, cuma saya nak tahu bukti sebenar supaya puas hati. Saya minta bedah siasat dibuat supaya puas hati. Buat masa ini kita tidak tahu punca kematian.
"Cuma saya sedih, dia meninggal ketika saya tiada. Sebelum ini, memang perkara sebegini yang saya nak elakkan, kan banyak isu… sebab itu saya bagi mak mertua saya jaga dia," kata Zainal Abidin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Supt Afzanizar Ahmad mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan selain mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat.
Proses besah siasat difahamkan hanya akan dijalankan pada jam 8 malam ini di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.