Hanya dua tren LRT beroperasi antara Sentul Timur dan Bandaraya
Astro Awani
Februari 23, 2023 19:18 MYT
Februari 23, 2023 19:18 MYT
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan LRT antara stesen Sentul Timur dan stesen Bandaraya kini beroperasi dengan kekerapan setiap 12 minit akibat pengurangan tren.
Menurut Rapid Rail dalam satu kenyataan pada Khamis, beberapa tren terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.
“Semenjak 27 Januari 2023, sebanyak lima buah tren digunakan di antara stesen-stesen tersebut.
“Disebabkan kerosakan struktur dan landasan berhampiran stesen Bandaraya, tren-tren tersebut tidak dapat kembali ke depoh LRT di Ampang untuk kerja-kerja penyelenggaraan,” jelas syarikat itu.
Kini, hanya dua buah tren beroperasi selepas tiga daripada lima buah tren tersebut terpaksa dikeluarkan kerana tidak lagi memenuhi kriteria operasi.
“Bagi menampung dan mengendalikan penumpang-penumpang yang terjejas, perkhidmatan bas perantara (LRT11) di antara stesen Sentul Timur dan Bandaraya diaktifkan bermula waktu puncak petang ini.
“Sepuluh buah bas akan digunakan bagi perkhidmatan ini.”
Menurut Rapid Rail, perkhidmatan bas perantara ini akan berhenti di stesen Sentul Timur, Sentul, Titiwangsa, PWTC, Sultan Ismail dan Bandaraya, dengan perjalanan sehala dari Sentul Timur ke Bandaraya dijangka mengambil masa 30 minit.
Selain itu, anggota operasi rel dan anggota Polis Bantuan turut akan ditempatkan di stesen-stesen terlibat bagi mengawal pergerakan penumpang.