Hanya dua telco tandatangan perjanjian miliki ekuti DNB setakat ini

Bernama
Mei 1, 2022 05:49 MYT
ANNUAR: Kalau pada 30 Jun mana-mana telco masih tidak mengambil ekuiti mereka, maka mereka akan ditinggalkan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Hanya dua syarikat telekomunikasi (telco) iaitu Telekom Malaysia Bhd (TM) dan YTL Communications Sdn Bhd yang menandatangani perjanjian memiliki kepentingan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd (DNB) bagi pelaksanaan rangkaian 5G negara, setakat ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata berikutan itu, telco lain diharap dapat menyegerakan dalam memuktamadkan perjanjian dengan DNB sebelum tarikh akhir yang ditetapkan pada 30 Jun ini.
"Ini bermakna kalau pada 30 Jun mana-mana telco masih tidak mengambil ekuiti mereka, maka mereka akan ditinggalkan dan kita akan teruskan sebab tumpuan sekarang ini adalah untuk memastikan pelancaran sebenar berlaku.
"Jadi bagi mereka yang melanggani TM dan YTL, saya difahamkan selepas Aidilfitri ini mereka akan ada pelancaran 5G di tiga kawasan (Fasa 1A) iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis iftar Rumah Prihatin di sini, pada Ahad.
Pada 16 Mac lepas, Annuar berkata isu monopoli DNB dalam pelaksanaan rangkaian 5G di negara ini tidak lagi berbangkit kerana kerajaan membuka 70 peratus peluang kepada semua penyedia perkhidmatan komunikasi untuk memiliki kepentingan ekuiti di dalamnya.
-- BERNAMA
#Annuar Musa #Telekom Malaysia Bhd #YTL Communications #5G
;