Hanya diberi ubat demam selepas 3 kali ke klinik, kini kami positif malaria - Tok Batin
Harits Asyraf Hasnan
Disember 26, 2016 22:35 MYT
Disember 26, 2016 22:35 MYT
Ibarat sebuah kampung tinggal.
Itu yang boleh digambarkan bila melihat suasana di Pos Kemar, Gerik selepas lebih satu jam perjalanan menaiki bot dari Pekan Gerik, Perak.
Tidak banyak aktiviti dilakukan penduduknya, yang berjumlah hampir 6,000 orang dari 15 buah kampung.
Suasana itu memberi gambaran jelas bahawa pasca wabak malaria itu memberi impak yang cukup mendalam.
Sejurus tiba di jeti Pos Kemar, kami menaiki kenderaan pacuan empat roda dan terus menuju ke Kampung Senangit, iaitu kampung yang merekodkan pesakit malaria paling ramai, 74 orang.
Ketibaan kami disambut Tok Batin, Hamdan Adik, yang lantas meluahkan rasa hati mewakili penduduk suku kaum Temiar itu.
Beliau mendakwa sebelum tersebarnya wabak malaria, pesakit yang mengalami gejala demam hanya diberikan ubat demam tanpa sebarang ujian darah walaupun telah tiga kali berjumpa doktor.
“Masa kami ramai yang demam lebih kurang dalam bulan Julai dan Ogos, kami pergi buat pemeriksaan kesihatan dekat Klinik Kesihatan Pos Kemar. Mereka (kakitangan perubatan) anggap demam biasa sahaja. Bila pergi pemeriksaan, dia (doktor) hanya bagi Panadol.
“Lepas lima hari makan ubat, kemudian ramai yang demam semula. Apabila pergi lagi sekali ke klinik, masih sama, beri ubat (tiada ujian darah). Kami sampai terpaksa memaksa doktor untuk buat ujian darah sebab tak sembuh. Kemudian positif malaria,” katanya.
Beliau terlalu kesal dengan tindakan kakitangan kesihatan yang seolah-olah tiada tindakan awal sebelum wabak itu tersebar.
“Kadang-kadang kami ini sebagai penduduk terpaksa mendesak mereka untuk mengambil darah. Jadi mereka sepatutnya tidak perlu begitu. Kami yang sakit ini pula perlu desak sebegitu.
“Dia (doktor) memang tahu kerana itu tanggungjawab dia. Jadi saya amat ragui jikalau dia tengok sahaja dan kemudian dia bagi ubat sahaja, saya amat ragui.
“Yang baru-baru ini itu yang terjadi sebab kami sudah tengok pesakit semakin ramai. Jadi kami tengok (berpandangan) untuk berjumpa doktor dan kemudian doktor hanya bagi panadol tetapi kami masih lagi tidak sihat. Sekarang kami ini positif malaria,” keluhnya.
Ikuti laporan eksklusif Asyraf Hasnan yang menemubual Hamdan Adik di kediamannya di Kampung Senangit, Pos Kemar, Gerik.