Hanya Cheras, Nilai masih catat bacaan IPU tidak sihat setakat 6 petang ini

Bernama
Oktober 3, 2023 20:19 MYT
GAMBAR FAIL: Rakaman gambar menunjukkan ruang udara di sekitar kawasan Nilai yang berkabus berikutan kualiti udara yang kurang baik susulan jerebu yang melanda. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Hanya dua kawasan sahaja mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 6 petang ini berbanding tujuh, pada 10 pagi tadi.
Laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan Nilai di Negeri Sembilan dan Cheras di ibu negara kekal sebagai kawasan paling terjejas dengan bacaan IPU masing-masing 154.
Sebanyak 62 kawasan lain pula merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana dan empat lagi dalam kategori baik.
Bacaan IPU di bawah 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).
-- BERNAMA
#jerebu #bacaan ipu #IPU tidak sihat #Cheras #nilai
;