Hanya 63.1 peratus tahu hak pengguna
Fareez Azman
Mac 23, 2022 19:18 MYT
Mac 23, 2022 19:18 MYT
KUALA LUMPUR: Indeks Pemerkasaan Pengguna (CEI) yang dijalankan pada tahun 2020 mendapati hanya 63.1 peratus pengguna di negara ini mengetahui hak mereka sebagai pengguna.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kajian kementeriannya itu menunjukkan kesedaran pengguna di negara ini masih berada pada tahap sederhana.
"Kesedaran di Malaysia hanya 63 peratus sahaja, itu masih boleh dikatakan hanya sederhana sahaja, kita hendak pertingkatkan lagi.
"Sebab itu saya bersama Timbalan Menteri dan seluruh warga KPDNHEP lebih fokus dan akan membuat lebih banyak program membantu pertingkatkan tahap kesedaran di Malaysia.
"Itu tahap kesedaran, tahap praktikkan lagi kurang," jelasnya dalam sidang media di sini, hari ini.
Jelasnya, ramai juga pengguna tidak membuat laporan mahupun memberikan maklumat lengkap apabila berasa tertipu dalam urus niaga.
Ia sekali gus merumitkan tindakan penguat kuasa untuk menjalankan pemantauana atau penguatkuasaan.
"Apa guna kita (pengguna) tahu hak kita, tapi tidak praktikkan, contoh kalau kita rasa tertipu, kita tahu ada hak sebagai pengguna, tetapi kita tidak buat laporan, jadi kita tidak membantu.
"Satu lagi contoh, jika ada harga ayam dan ikan di sesuatu tempat naik mendadak, tapi (pengguna) tidak memberikan maklumat tepat. Jadi apabila penguat kuasa pergi ke sana, aduan itu terlalu terbuka dan tidak tepat," jelasnya lagi.
Justeru sempena Bulan Pengguna Kebangsaan (BPK) yang diadakan pada bulan Mac setiap tahun, jelasnya pelbagai program advokasi serta kempen kesedaran dijalankan pihaknya bertujuan memberi pendedahan hak pengguna.
Ia termasuk beberapa aplikasi yang dibangunkan KPDNHEP bagi memberi akses mudah kepada pengguna membuat perbandingan harga, melaporkan aduan sekiranya tertipu mahupun jika berlaku peningkatan harga secara mendadak di sesuatu kawasan.
Antaranya Price Catcher, MySales Tracker dan yang terbaharu aplikasi ezAdu yang kini dalam ujian fasa terakhir sebelum dilancarkan pada Jun depan.
Mengulas mengenai perniagaan atas talian pula, jelas Alexander, pihaknya menerima pelbagai aduan berhubung penipuan yang berlaku.
Justeru, kementeriannya juga sedang memperhalusi undang-undang dan akta sedia ada dengan libat urus beberapa kementerian lain untuk memastikan pembelaan terhadap mangsa penipuan.
"Apabila saya kata kita sedang perhalusi, kita nak juga mereka yang berikan perkhidmatan atas talian lebih bertanggungjawab.
"(Mereka) Tidak boleh kata kita hanya menyediakan platform dan terpulang kepada pembeli untuk membuat keputusan sekiranya membeli barangan dari luar negara dan membawa kepada penipuan.
"Kita akan cari bagaimana mereka ini perlu lebih bertanggungjawab, maknanya mereka ini boleh disabitkan kesalahan, itu kita perhalusi," jelasnya lagi.