Hanya 40 peratus hli NUTP mencarum insurans kesatuan

Bernama
Disember 20, 2024 16:13 MYT
Presiden NUTP Aminuddin Awang berkata ia menunjukkan tahap kesedaran guru terhadap kepentingan mencarum insurans masih rendah. - Facebook Aminuddin Awang
ALOR GAJAH: Hanya kira-kira 40 peratus daripada 230,000 guru berdaftar di bawah Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) mencarum skim insurans yang ditawarkan kesatuan itu.
Presiden NUTP Aminuddin Awang berkata ia sekali gus menunjukkan tahap kesedaran guru terhadap kepentingan mencarum insurans masih rendah sedangkan skim tersebut bertujuan melindungi mereka daripada sebarang kemalangan atau musibah.
"Premium insurans yang ditawarkan di bawah NUTP sangat rendah bermula RM5 yang dipotong secara bulanan namun manfaat yang diperoleh mencecah hingga RM220,000 sekiranya berlaku perkara tidak diingini ke atas mereka.
"Justeru, saya sangat menggalakkan guru di seluruh negara yang dianggarkan berjumlah 430,000 orang bukan sahaja menjadi ahli NUTP tetapi juga mencarum skim insurans yang ditawarkan," katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Cek Manfaat Insurans NUTP yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah.
Pada masa sama, Aminuddin berkata golongan guru terutama yang baharu berkhidmat dan masih belum berdaftar sebagai ahli NUTP digalakkan menyertai kesatuan itu bagi memperjuangkan nasib mereka meliputi aspek kebajikan, perkhidmatan, gaji dan elaun serta beban tugas.
Terdahulu, pada majlis berkenaan beliau berkata 11 guru yang cedera dalam kemalangan bas persiaran di Jalan Kuantan-Segamat, Rompin, Pahang pada 9 Jun lepas menerima sumbangan tunai NUTP berjumlah RM500 setiap seorang.
Seorang guru daripada empat yang maut dalam nahas tersebut iaitu Allahyarham Dahlia Ahmad, 52, yang merupakan ahli NUTP serta mencarum skim insurans di bawah kesatuan itu menerima manfaat insurans RM306,973.24, yang diserahkan kepada suami mangsa Zul Sham Mahat, 56.
Dalam nahas itu, empat maut manakala 35 cedera selepas bas yang dalam perjalanan membawa rombongan SK Jeram, Masjid Tanah ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras terbabit dalam kemalangan.
Sementara itu, Zul Sham berkata wang insurans yang diterima itu akan digunakan sebaik mungkin termasuk melaksanakan badal haji buat isterinya yang sebelum meninggal dunia pernah menyatakan hasrat untuk ke tanah suci.
"Saya tidak menyangka arwah isteri ada mencarum insurans...semua ini kehendak Allah. Saya akan manfaatkan pertama sekali untuk badal haji dan selebihnya kegunaan anak-anak termasuk seorang anak istimewa menghidap autisme ringan berusia 14 tahun," kata pesara bank itu.
-- BERNAMA
#guru #NUTP #skim insurans #pencarum #tahap kesedaran
;