Hanya 40 peratus guna pasport untuk tujuan perjalanan

Sinar Harian
April 11, 2023 10:00 MYT
Jabatan Imigresen dilaporkan mengeluarkan sebanyak 2.8 juta pasport pasca COVID-19 iaitu peningkatan empat kali ganda berbanding tempoh sebelum itu. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Hanya 40 peratus daripada 2.8 juta pasport yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pasca COVID-19 digunakan untuk tujuan perjalanan segera.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, baki 60 peratus lagi tidak mempunyai tujuan perjalanan dalam masa terdekat.
“Peningkatan permohonan empat kali ganda sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Permohonan boleh dibuat dalam talian dan apabila pasport dikeluarkan, data menunjukkan 40 peratus yang gunakan untuk perjalanan, 60 peratus lagi simpan,” katanya.
Sebelum ini Saifuddin Nasution mendedahkan pihak imigresen telah mengeluarkan sebanyak 2.8 juta pasport pasca COVID-19 iaitu peningkatan empat kali ganda berbanding tempoh sebelum itu.
Sistem parol kurangkan kes banduan kembali ke penjara
Beliau berkata, sistem parol yang diwujudkan di bawah Akta Penjara Seksyen 43 mampu mengurangkan kes banduan kembali ke penjara.
Katanya, daripada setiap 800 banduan yang dibebaskan dengan kaedah itu, seorang sahaja yang kembali ke penjara.
“Apabila kita laksana dua pertiga masa mereka di luar, satu pertiga sahaja di dalam penjara, ia berjaya dan ini adalah berita baik,” katanya.
Katanya, ketika ini terdapat 39 penjara dalam negara dengan kapasiti 65,000 pesalah, tetapi sekarang penghuninya adalah 70,000 orang.
“Akta Penjara Seksyen 43 membolehkan tahanan yang dihukum kurang tiga tahun penjara boleh dikeluarkan dengan sistem parol.
“Dan di bawah Akta Kehadiran Wajib sebenarnya orang yang dihukum penjara itu boleh berada di rumah dan melalui kehidupan macam biasa di bawah perintah pembebasan berlesen.
“Jadi kategori ini kita uruskan lebih banyak masa mereka berada di luar sepertimana dibenarkan dalam akta tertentu, akta penjara dan akta kehadiran wajib kita dapati impaknya sangat bagus,” ujarnya. - Sinar Harian
#Saifuddin Nasution #perjalanan #pasport #sistem parol
;