Hanya 4 kesalahan syarie dikenakan sebat di Kelantan - MB

Bernama
September 5, 2018 19:22 MYT
AHMAD: Hukuman bagi kesalahan berkaitan musahaqah atau lesbian masih lagi denda sebanyak RM500 atau penjara dan setakat ini masih belum ada pindaan.
Setakat ini hanya empat kesalahan syarie boleh dikenakan hukuman sebat di Kelantan, iaitu melakukan zina, mukadimah zina, minum arak dan qazaf iaitu menuduh seseorang melakukan zina tanpa membawa empat orang saksi.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata hukuman bagi kesalahan berkaitan musahaqah atau lesbian masih lagi denda sebanyak RM500 atau penjara dan setakat ini masih belum ada pindaan.
Mengikut Seksyen 15, Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan No 2 1985, seseorang perempuan yang dengan sengaja melakukan musahaqah dengan perempuan yang lain, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara tidak melebihi empat bulan atau kedua-duanya.
"Sehingga kini pindaan yang dibuat adalah hanya bagi membawa hukuman sebat yang selama ini dijalankan di penjara ke kawasan luar (terbuka) mungkin di kawasan masjid atau stadium tertutup.
"Pindaan itu sudah diluluskan di peringkat kerajaan negeri cuma tarikh sebenar ia akan diwartakan belum diputuskan lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program 'Hududullah' peringkat negeri di sini, hari ini.
Ahmad berkata sejak 1987 hingga 2011, terdapat 10 kes sebat dijalankan membabitkan 13 pesalah mukadimah zina serta meminum arak dan hukuman sebat yang dijalankan tidak melebihi enam sebatan.
"Apa yang penting hukuman yang dijalankan adalah bertujuan mendidik dan bukannya mahu mencederakan pesalah," katanya. -- Bernama
BACA: Kritikan terhadap hukuman sebat hanya sementara - MB Terengganu
BACA: Hukuman sebat di khalayak ramai sukar diterima - Anwar Ibrahim
BACA: Sebat dalam hukum syarak tidak seperti digembar-gemburkan
BACA: Dua wanita kes hubungan sejenis dihukum sebat depan khalayak
#Ahmad Yakob #Kelantan #sebatan #sebatan syariah #undang-undang syariah
;