Hanya 37 inisiatif selesai, belum terlambat kaji semula NACP - Pakar
Fareez Azman
April 10, 2023 17:56 MYT
April 10, 2023 17:56 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melihat semula Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang digariskan sebelum ini dalam memerangi rasuah dan integriti dalam masyarakat.
Menurut Pengarah Pusat Kepimpinan dan Pembangunan Profesional (UM LEAD) Universiti Malaya, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, meskipun telah melepasi lima tahun, hanya 37 daripada 115 inisiatif yang digariskan berjaya dilaksanakan setakat ini.
"Pelan itu adalah pelan lima tahun daripada tahun 2019 ke 2023. Sekarang sepatutnya sudah selesaikan, hujung tahun ini, kesemua 115 inisiatif yang digariskan dahulu.
"Tapi hanya 37 inisiatif selesai dan 74 lagi masih belum dilaksanakan dan dalam perancangan.
"Masih tidak terlewat untuk kita lihat semula, kalau kita tak buat kita kena jadikan kaji separuh penggal," jelasnya.
Tambah Anis, antara faktor mengakibatkan NACP tidak dapat dilaksanakan secara tuntas apabila berlakunya perubahan kerajaan sejak tahun 2020.
Namun tegasnya, NACP bukan milik kerajaan sedia ada sebaliknya hasil kajian pakar akademik dalam soal menangani rasuah dan intergriti di negara ini.
"Merisaukan saya agensi-agensi yang saya pernah bekerja sebelum ini, Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) telah ditiadakan.
"Kalau Agensi Pusat untuk memantau sudah tidak ada, di mana dan siapa akan mengambil peranan itu," jelasnya lagi.
"Ini akibat pertukaran kerajaan berkali-kali, sama ada kita perlu melihat kembali apa yang telah dan yang belum dibuat.
"Kalau belum, kenapa tidak dibuat? Kena diingatkan pelan NACP bukan milik kerajaan tapi untuk negara dikaji oleh pakar-pakar... kami gunakan data dan bukti imperikal.
"Pelan ini adalah sumber kita buat jangkaan untuk melihat ke hadapan apa akan berlaku pada Malaysia pada tahun 2030. Ada data analisis, pelan itu benar-benar," katanya lagi.
Malah sejak diperkenalkan, Malaysia pada ketika itu, ujar Anis, berjaya meningkatkan markah integriti dan antirasuah.
"Sebagai buktinya tahun pertama kita laksanakan, skor kita naik dari 47 kepada 53, ranking daripada 61 kepada 51.
"Itu bukti impak pelan itu, tapi malangnya pelan itu dilupakan.
"Kalau disebut reformasi hapuskan rasuah dalam konteks kerajaan memantau, kita ambil pelan sedia ada. Apa belum dibuat, kalau tidak perlu, perlu diberi justifikasi kenapa tidak perlu dilakukan," ujarnya lagi.