Hanya 30 peratus rakyat Malaysia patuh arahan pemakaian pelitup muka - Pakar
Bernama
Januari 17, 2021 20:29 MYT
Januari 17, 2021 20:29 MYT
KUALA LUMPUR: Hanya kira-kira 30 peratus rakyat Malaysia mematuhi arahan pemakaian pelitup muka di tempat awam dan kawasan sesak sejak ia diwajibkan pada Ogos tahun lepas.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, perkara ini jelas menampakkan sikap kurang prihatin rakyat yang masih memandang mudah aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.
''Secara umum, saya boleh bahagikan kepada dua kumpulan, pertama kumpulan yang betul-betul patuh dan satu lagi kumpulan yang tidak patuh.
''Perkara ini dipengaruhi beberapa faktor terutama sekali sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) baru-baru ini apabila rakyat mula mengabaikan pemakaian pelitup muka ketika berada di kawasan awam dan sesak,'' katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata, kegagalan rakyat memahami cara memakai pelitup muka dengan betul juga dilihat sebagai satu cabaran kepada kerajaan yang sedang bebertungkus-lumus membendung virus berbahaya itu daripada terus merebak.
''Kita perhatikan di tempat-tempat awam, ada segelintir rakyat yang tidak kisah malah ada yang letak pelitup muka di bawah dagu, di bawah hidung.
''Jadi bila angka positif sudah mencecah empat angka, masih ada lagi rakyat yang tidak memakai pelitup muka dan cara memakai pelitup muka masih salah, seolah-olah tidak peka dengan situasi sekarang ini,'' katanya.
Dr Malina berharap rakyat di negara ini tidak sesekali mengabaikan tanggungjawab pemakaian pelitup muka dengan betul dalam usaha memerangi COVID-19.
Kerajaan telah mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak atau tumpuan umum pada 1 Ogos tahun lepas.
Orang ramai boleh didenda RM1,000 mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhinya. - BERNAMA
#pelitup muka
#30 peratus rakyat Malaysia
#Pakar Perubatan Kesihatan Awam
#Dr Malina Osman
#Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan
#Pandemik COVID-19
#COVID-19