Hanya 30 peratus pengguna patuhi had laju di LPT2 - JKR

Bernama
Oktober 29, 2015 08:00 MYT
Fadillah menasihatkan pengguna LPT2 supaya berhati-hati dan sentiasa mematuhi arahan dan had kelajuan yang ditetapkan ketika mengguna laluan itu. - Gambar Fail
Sikap pengguna yang memandu laju dengan purata melebihi had kelajuan 110 km sejam antara penyumbang berlakunya peningkatan kadar kemalangan maut di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata menerusi kajian yang dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR), hanya 30 peratus pengguna lebuh raya itu mematuhi had laju yang ditetapkan.
Beliau berkata 50 peratus lagi memandu lebih daripada 140 km sejam ketika menggunakan lebuh raya tersebut.
"Kami pernah merekod ada pengguna yang memandu mencecah 177 km sejam," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di KM258.9 LPT2 di sini pada Rabu yang merupakan lokasi kemalangan meragut nyawa enam sekeluarga baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ir Ismail Md Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Terengganu Ir Rosli Othman dan Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman.
Menurutnya langkah penguatkuasaan telah dilakukan pihak polis dengan memasang lebih banyak perangkap had laju di sepanjang laluan 184 km LPT2 itu.
Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), LPT2 dari Jabor di Kemaman sehingga Gemuruh di Kuala Nerus meragut 85 nyawa sejak dibuka Januari 2011 secara berperingkat.
Pada 14 Okt lalu, enam sekeluarga yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju Kuantan maut, selepas kereta jenis Toyota Camry yang dinaiki mereka terbabas sebelum terperosok ke bawah lori treler yang berhenti di lorong kecemasan.
Justeru Fadillah menasihatkan pengguna LPT2 supaya berhati-hati dan sentiasa mematuhi arahan dan had kelajuan yang ditetapkan ketika mengguna laluan itu.
Katanya pihak JKR juga akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan elemen keselamatan terus dipertingkat termasuk meminta pihak konsesi membenarkan kiosk perniagaan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) beroperasi bagi memberi keselesaan kepada pengguna lebuh raya itu.
Selain itu papan tanda amaran juga akan diperbanyakkan bagi memberi kesedaran dan peringatan kepada para pemandu yang menggunakan laluan tersebut.
#Fadillah Yusof #JKR #lebuhraya #LPT2 #Pantai Timur #pemandu #sikap
;