Hanya 30 peratus daripada 24,000 syarikat patuh Akta 446

Ridauddin Daud
Disember 1, 2020 14:17 MYT
Hanya 30 peratus daripada 24,000 majikan yang menyediakan penginapan buat pekerja asing mematuhi Akta Standard Minima Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446). - Gambar hiasan/Astro AWANI
PUTRAJAYA: Hanya 30 peratus daripada 24,000 majikan yang menyediakan penginapan buat pekerja asing mematuhi Akta Standard Minima Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Asri Ab Rahman berkata, jumlah itu agak rendah malah lebih membimbangkan, hanya 665 daripada lebih 54,000 syarikat memohon Perakuan Penginapan daripada jabatan itu.
Menurutnya, meskipun jumlah permohonan masih rendah namun JTKSM mensasarkan sehingga hujung tahun depan, semua syarikat tersebut sudah memperoleh Perakuan Penginapan.
“Kebanyakan daripada mereka menggunakan alasan disebabkan kos, mereka kata itu akan meningkatkan kos perniagaan mereka.
“Pada masa sama, kita dah tubuhkan enam jawatankuasa yang turut diwakili kesatuan majikan dan wakil-wakil subsektor. Kita tubuh jawatankuasa dari sub sektor sarung tangan getah, pembuatan, pembinaan, elektrik dan elektronik, perkhidmatan dan perladangan.
“Kita panggil pihak syarikat untuk bincang bagaimana untuk menangani dari segi kepatuhan tersebut,” katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.
Menurutnya, berdasarkan pemerhatian pihaknya, banyak majikan menyediakan tempat penginapan namun tidak mengikut spesifikasi ditetapkan dalam akta tersebut seperti keluasan bagi 800 kaki persegi hanya sesuai untuk ditempatkan enam pekerja.
BACA: Jabatan Tenaga Kerja buka 21 kertas siasatan, 19 terhadap Top Glove
BACA: Majikan perlu lebih masa untuk patuhi Akta Perumahan Pekerja - MEF
"Walaupun masih banyak majikan gagal mematuhi akta tersebut, namun masih terdapat beberapa syarikat yang menyediakan penginapan terbaik kepada pekerja mereka.
"Bagi industri sarung tangan getah, Hartalega adalah antara contoh terbaik manakala sektor perladangan, boleh tengok kepada Sime Darby.
“Kilang Intel yang terletak di Pulau Pinang juga merupakan contoh penyedia penempatan sektor elektrikal dan elektronik terbaik. Bukan kata tiada yang terbaik, ada juga yang boleh dijadikan contoh,” ujarnya.
Astro AWANI pada 25 November melaporkan Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan menguatkuasakan Akta 446 bermula 26 November lepas.
Antara lain akta pindaan berkenaan bertujuan menambah baik standard penginapan pekerja asing dalam pelbagai sektor di negara ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua majikan perlu mematuhi penguatkuasaan akta berkenaan.
BACA: Denda RM50,000 terhadap majikan gagal patuh Akta 446 - Saravanan
BACA: Akta 446 dikuatkuasa bagi memastikan tempat penginapan pekerja lebih kondusif
#Akta 446 #pekerja asing #warga asing #asrama #asrama pekerja #JTKSM #Kementerian Sumber Manusia #ksm #sumber manusia #ismail sabri yaakob #Ismail Sabri #Saravanan #M Saravanan #menteri #buruh paksa #akta #siasatan
;