Hanya 30 peratus anggota Bomba Sabah dibenarkan bercuti sempena Aidilfitri
Junaidi Ladjana
April 30, 2021 15:00 MYT
April 30, 2021 15:00 MYT
KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah hanya membenarkan 30 peratus daripada kira-kira 1,200 anggota dan pegawainya bercuti bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Bagaimanapun, semua yang terbabit masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk dipanggil semula sekiranya ada berlaku sebarang insiden besar yang memerlukan lebih ramai keanggotaan.
Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, keputusan berhubung jumlah itu dibuat bagi memastikan pegawai dan anggota JBPM mencukupi sepanjang musim perayaan ini.
"Pasukan bomba perlu bersiap sedia sepanjang masa untuk memberi respon secepat mungkin sekiranya diperlukan.
"Ia bukan saja meliputi tugasan bantuan kemanusian dan bencana seperti kebakaran tetapi juga meneruskan penugasan khas membabitkan pandemik COVID-19," katanya ketika ditemui, hari ini.
Kamarulzaman berkata, JBPM Sabah memberi jaminan anggota bomba dan penyelamat adalah mencukupi di semua daerah untuk membantu jika berlaku sebarang kemalangan dan kebakaran di musim perayaan ini.
Sementara itu, Kamarulzaman menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati bukan saja di jalan raya tetapi juga memastikan barangan elektrik di rumah tidak menjadi punca kebakaran.
Katanya, hasil kajian bomba, 30 peratus insiden kebakaran berpunca daripada masalah elektrik dan yang tertinggi berbanding punca api.
"Apa yang paling penting, jangan melakukan sebarang ubah suai terhadap peralatan elektrik kerana ia juga salah satu punca penyebab kebakaran," katanya.
#Cuti Hari Raya
#Bomba Sabah
#Kamarulzaman Malik Abdullah
#kebakaran
#COVID-19
#Hari Raya Aidilfitri