Hanya 250,000 orang tandatangani Deklarasi Rakyat

Astro Awani
April 19, 2016 17:21 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyertai semua siri jelajah Selamatkan Malaysia di sembilan negeri, bermula 29 April ini. - Gambar fail
Gerakan Selamatkan Malaysia masih bergelut untuk mencapai sasaran sejuta tandatangan melalui Deklarasi Rakyat bagi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berundur dari tampuk kuasa.
Ketua Sekretariat Gerakan Selamatkan Malaysia, Datuk Kamaruddin Jaffar mengakui mereka hanya berjaya mencapai satu perempat daripada keseluruhan sasaran sejak ia dilancarkan 4 Mac lepas.
"Pada kadar yang telahpun kita capai, sekurang-kurangnya satu perempat daripada sasaran.
"Dengan sokongan rakyat yang ada dan sambutan hangat di merata tempat termasuk penduduk di Sarawak, kita harap dan rancang untuk capai matlamat tersebut sebelum 9 Mei ini," tegas Kamaruddin dalam sidang media di sini, pagi tadi.
Tambahnya, Gerakan Selamatkan Malaysia tetap optimis mampu mencapai sasaran walaupun melepasi tempoh yang ditetapkan dan akan mempersembahkan kepada Majlis Raja-Raja yang bakal bersidang pada 11 dan 12 Mei ini.
Sementara itu, bekas Naib Ketua Bahagian UMNO Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengesahkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyertai semua siri jelajah Selamatkan Malaysia di sembilan negeri, bermula 29 April ini.
#gerakan Selamatkan Malaysia #Mahathir Moahamd #sejuta tandatangan #siri jelajah Selamatkan Malaysia
;