Hanya 25 dari 5,000 majikan mohon perakuan penginapan - JTK NS

Bernama
Januari 13, 2021 17:10 MYT
Anggota Penguatkuasa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan kelihatan meneliti dokumen pekerjaan seorang pekerja asing pada Operasi Pematuhan Penginapan Pekerja di kawasan perindustrian Oakland, Seremban 2 hari ini. - Foto BERNAMA
SEREMBAN: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan menggesa majikan di negeri ini untuk segera memohon Perakuan Penginapan kerana setakat ini hanya 25 daripada 5,000 majikan membuat permohonan tersebut.
Pengarahnya, S. Tharu Marajan berkata permohonan perakuan itu diwajibkan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dan tindakan tegas boleh diambil terhadap mereka jika gagal berbuat demikian.
"Daripada jumlah berkenaan, 20 majikan telah berjaya mendapat kelulusan melibatkan 227 bangunan, sementara dua ditolak dan baki tiga lagi masih menunggu kelulusan.
"Ini menunjukkan masih ramai lagi majikan belum membuat permohonan berkenaan dan ini satu kesalahan amat serius kerana jika sabit kesalahan, majikan boleh didenda sehingga RM50,000," katanya kepada pemberita selepas Operasi Pematuhan Akta 446 (Penginapan Pekerja) di sini, hari ini.
Penguatkuasaan Akta 446 mulai 1 Sept tahun lepas menetapkan keperluan kepada majikan dan penyedia penginapan berpusat untuk mendapatkan Perakuan Penginapan daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
Dalam pada itu, beliau berkata setakat ini, separuh daripada 50,000 pekerja asing di Negeri Sembilan telah menjalani ujian saringan COVID-19.
"Mana-mana majikan dalam semua sektor yang mengajikan pekerja asing di negeri ini diminta menghubungi Perkeso atau panel klinik yang telah dilantik Perkeso untuk aturkan saringan COVID-19 segera," katanya.
-- BERNAMA
#Jabatan Tenaga Kerja #JTK #JTK NS #Negeri Sembilan #Perakuan Penginapan #S Tharu Marajan
;