Hanya 2 daripada 364 sampel telur ayam mengandungi Salmonella entritidis - KKM

Astro Awani
Mac 14, 2021 20:45 MYT
Semua telur yang diuji terbabit adalah sampel pemantauan dari semasa ke semasa di pasaran tempatan. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan (KKM) menganalisis 364 sampel telur ayam daripada sampel pemantauan di pasaran Malaysia dengan hanya dua sampel didapati mengandungi Salmonella entritidis.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM, Mohd Salim Dulatti, menjelaskan telur terbabit adalah sampel pemantauan dari semasa ke semasa di pasaran tempatan.
"KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan akan bekerjasama dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas premis dan telur ayam terlibat berhubung punca pencemaran seperti yang dilaporkan.

"Selain itu, pemantauan Salmonela enteritidis di dalam telur ayam sentiasa dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
BACA: Singapura arah tarik balik telur dari Lay Hong Layer Farm Jeram
BACA: Penarikan balik telur: KPDNHEP nasihati pengguna elak pembelian panik
Katanya lagi, KKM mengambil maklum mengenai isu penarikan balik telur ayam keluaran Malaysia dari pasaran Singapura kerana dicemari bakteria Salmonella enteritidis sebagaimana yang dilaporkan di laman sesawang Singapore Food Agency (SFA) bertarikh 12 Mac 2021.
"Laporan tersebut menyatakan pihak SFA telah mengarahkan telur ayam tersebut ditarik balik kerana dikesan tercemar dengan bakteria Salmonella enteritidis.
"Telur ayam yang terlibat mempunyai cetakan kod CES008 yang melibatkan semua batch (kumpulan) Syarikat Lay Hong Berhad Layer Farm di Jeram, Selangor," tambah beliau.
Sekiranya pengguna berasa ragu-ragu dengan status keselamatan makanan yang terdapat di pasaran tempatan, pengguna boleh membuat laporan kepada KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), katanya.
"Bagi mengelakkan keracunan makanan disebabkan bakteria ini, pengguna dinasihatkan mencuci telur ayam dengan sempurna sebelum digunakan, elakkan menggunakan telur ayam yang telah retak atau pecah kerana ia mungkin tercemar dengan bakteria Salmonella enteritidis dan memasak telur ayam dengan sempurna sehingga bahagian kuning dan putih telur ayam menjadi keras sebelum dimakan," ujarnya.

#telur #Ayam #tarik balik #Singapura #Malaysia #Jeram #Selangor #Salmonella entritidis #KKM #telur ayam tercemar #ujian #sampel
;