Hanya 10 peratus syarikat ambil pengawal keselamatan PATI

Wan Syamsul Amly
Februari 18, 2014 19:34 MYT
Hanya 10 peratus atau kira-kira 70 daripada keseluruhan 772 syarikat keselamatan di negara ini menggaji ‎pekerja asing tanpa izin (PATI).
Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia, PPKKM, Datuk Shaheen Mirza Habib mendedahkan, ia dikatakan berpunca dari pembayaran kos gaji lebih murah sekali gus menguntungkan syarikat berkenaan.
"Selain gaji, syarikat terbabit turut mengaut wang mudah dengan menafikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta membayar elaun lebih masa (OT)," katanya ketika ditemui di ibu pejabat syarikat keselamatan Securiforce di sini.
Shaheen yang juga Pengarah Eksekutif Securiforce berkata, ‎pengambilan pengawal keselamatan dari negara Indonesia, Myanmar atau lain- lain tidak dibenarkan sama sekali di negara ini.
"Jelas,mereka ini secara haram bekerja dan kita tahu sebenarnya golongan ini menjadi mangsa syarikat keselamatan yang mahu mengaut keuntungan berlipat kali ganda," ujarnya.
Katanya, ia sekali gus melanggar Akta Agensi‎ Persendirian 1971 yang menetapkan hanya warganegara Malaysia dan Nepal yang pernah berkhidmat sebagai tentera serta polis sahaja dibenarkan menjadi pengawal keselamatan.
‎Ketika diminta menjelaskan peraturan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penetapan jumlah pengawal keselamatan yang dibenarkan diambil, ini katanya;
"Undang-undang menetapkan hanya lima peratus pengawal keselamatan Nepal atau statistik kini menunjukkan 6,500 daripada ‎235,000 keseluruhannya bekerja di dalam industri berkenaan," jelasnya.
Bagaimanapun kata Shaheen‎, sikap dedikasi dan komitmen kerja yang tinggi pengawal keselamatan dari Nepal berbanding pengawal tempatan menjadi faktor golongan itu dipilih kebanyakan syarikat keselamatan negara.
"Mereka ini turut digemari pelanggan yang menyifatkan kualiti kerja pengawal keselamatan dari Nepal jauh lebih tinggi berbanding lokal," tegasnya.
Jelasnya, situasi itu menyebabkan permintaan berterusan pengawal keselamatan dari negara Nepal sekali gus memberi persepsi dan kesan positif terhadap kelompok berkenaan‎.
#Indonesia #Myanmar #Nepal #pati #pengawal keselamatan
;