Hanya 10 peratus kawasan Tasik Kenyir dapat liputan telekomunikasi - Ketengah
Bernama
Julai 16, 2020 13:17 MYT
Julai 16, 2020 13:17 MYT
Tiga menara telekomunikasi di Tasik Kenyir yang terletak di Pulau Camar, Pulau Bayas dan Tanjung Mentong hanya meliputi 10 peratus kawasan di tasik buatan manusia itu, seluas 260,000 hektar.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Datuk Razali Idris berkata perkhidmatan telekomunikasi di Tasik Kenyir sangat penting kerana ia merupakan lokasi tarikan pelancong dan memudahkan pelancong untuk berhubung dengan keluarga dan rakan semasa bercuti di tasik itu.
"Perkhidmatan telekomunikasi sangat penting terutama jika berlaku kejadian tidak diingini seperti pelancong hilang dan kemalangan bot, mereka yang berada di daratan boleh memberikan bantuan dengan segera.
"Buat masa ini, sistem telekomunikasi termasuk internet di tasik ini sangat lemah, jika anda pergi jauh kira-kira 10 minit dari Pangkalan Gawi, liputan semakin terhad, malah anda tidak akan dapat membuat panggilan telefon," katanya pada Bengkel Pembangunan Pelancongan Tasik Kenyir 2020 di sini hari ini.
Razali berkata oleh itu, beliau berharap kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mempertimbangkan permintaan Ketengah untuk mempercepatkan usaha meningkatkan liputan telekomunikasi di tasik itu.
"Kami tahu agak sukar untuk pengendali telekomunikasi melabur di Tasik Kenyir kerana kawasannya yang luas dan pulau-pulaunya terletak jauh antara satu sama lain, justeru, kami berharap kerajaan akan melabur demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan 70 peratus kawasan di tasik ini akan mendapat liputan telekomunikasi menjelang 2021," katanya.
Razali berkata sekiranya usaha untuk menambah menara telekomunikasi sukar direalisasikan kerana memerlukan peruntukan besar, beliau mencadangkan agar sebuah pusat terminal komunikasi dibina di pejabat Ketengah, dekat Pangkalan Gawi untuk mengesan lokasi semua kapal yang berlayar di sekitar tasik.
-- BERNAMA
#jaringan telekomunikasi
#kawasan pelancongan
#Ketengah
#pelancong
#pembangunan
#Tasik Kenyir
#telekomunikasi