Hantaran jelik, bekas wartawan didakwa

Bernama
Oktober 9, 2024 16:40 MYT
Nurfateha dibawa ke Mahkamah Ayer Keroh hari ini. - Gambar/ Bernama
MELAKA: Seorang bekas wartawan mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Ayer Keroh di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan penghantaran jelik terhadap seorang individu di laman sosial Januari lepas.
Di Mahkamah Sesyen, Nurfateha Othman, 42, didakwa atas pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook melalui profil 'aspalelah zizah torak', pada satu pautan di laman sosial tersebut secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati dan mengganggu Mohd Dzuhairy Hussain, 43.
Nurfateha yang kini bekerja sebagai jurugambar bebas didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah pada awal Jan 2024 sekitar 2 petang.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Di Mahkamah Majistret pula tertuduh didakwa dengan niat hendak mengaibkan kehormatan terhadap individu sama, dengan cara memuat naik gambar butiran dan perbualan WhatApps di laman Facebook.
Nurfateha dituduh melakukan kesalahan itu di tempat, masa, dan tarikh sama mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain mencadangkan jaminan RM15,000 terhadap wanita itu, manakala bagi pertuduhan di Mahkamah Majistret, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon jaminan RM7,000.
Peguam Mohamed Musthafa yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah, atas alasan anak guamnya mempunyai empat anak dan suaminya bekerja sebagai penjual roti dengan gaji RM1,900 sebulan.
Hakim Azaraorni Abd Rahman mebenarkan jaminan RM7,000 manakala Majistret Khairunnisak Hassni menetapkan RM3,000.
Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan ke atas tertuduh iaitu melaporkan diri di balai polis berhampiran dan tidak mengganggu saksi sepanjang perbicaraan serta 12 Nov ditetapkan untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
#bekas wartawan #hantaran jelik #kes mahkamah #Melaka
;