Hantaran FB suami Ketua Hakim Negara adalah komen umum rakyat - DPP
Bernama
Februari 22, 2023 15:40 MYT
Februari 22, 2023 15:40 MYT
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu hantaran Facebook suami Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimum Tuan Mat pada 2018 tidak menunjukkan beliau mempunyai permusuhan peribadi terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi sebaliknya, komen umum tentang rakyat di media sosial.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Datuk V. Sithambaram berkata, ini kerana hantaran itu adalah ulasan peribadi semata-mata mengenai senario politik yang membawa kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-14.
"Tiada kaitan antara hantaran itu yang disiarkan pada 11 Mei 2018 dengan rayuan Najib di hadapan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lepas. Adalah sukar dipercayai bahawa pemohon (Najib) hanya menyedari mengenai hantaran FB ini pada 22 Ogos tahun lepas iaitu beberapa jam sebelum pendengaran rayuan pada 23 Ogos tahun lepas.
"Pemfailan permohonan penarikan diri (Ketua Hakim Negara) adalah percubaan terakhir yang terdesak untuk tidak meneruskan pendengaran rayuan. Kebetulan luar biasa apabila pemohon mendapat tahu daripada hantaran FB awam beberapa jam sebelum tamat pendengaran rayuan pada 23 Ogos tahun lalu.
"Yang Arif, sebenarnya mereka tahu mengenai hantaran itu tetapi mendapati ia tidak layak untuk permohonan menarik diri sebelum itu. Permohonan dalam tempoh 11 jam itu adalah usaha terdesak semata-mata untuk menangguhkan rayuan," tegasnya.
Berhubung pelantikan firma Tetuan Zaid Ibrahim Suflan Th Liew (ZIST), DPP itu berkata, tujuan utama kes SRC International dikendalikan oleh firma tersebut pada tahun lepas adalah bagi memohon penangguhan.
"Walaupun Najib mempunyai hak untuk melantik peguam cara pilihannya, ia harus dilakukan lebih awal agar tidak mengganggu tarikh pendengaran yang telah ditetapkan empat bulan lebih awal dengan persetujuan semua pihak," katanya sambil menambah tindakan peguam cara atau peguam pemohon tidak boleh dibiarkan kerana jika sebaliknya, ia bermakna penangguhan sentiasa boleh diperoleh oleh peguam cara atau peguam baharu yang mengambil alih kes-kes pendengaran yang telah ditetapkan.
Menjelaskan tindakan bekas peguam Najib, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang melepaskan dirinya daripada mewakili bekas perdana menteri itu, timbalan pendakwa raya menegaskan, Mahkamah Persekutuan mempunyai budi bicara sama ada untuk membenarkan peguam menarik diri, terutama di tengah-tengah perbicaraan.
Sithambaram berkata, peguam yang tidak diberi penangguhan rayuan tidak dibenarkan menggunakan kaedah pintu belakang untuk menangguhkan rayuan dengan strategi taktikal untuk melepaskan dirinya.
Timbalan pendakwa raya kanan itu berkata demikian pada pendengaran permohonan Najib untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.
Najib dalam permohonan semakannya memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun pada 23 Ogos tahun lepas yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda. - BERNAMA
#kes SRC International
#Najib Razak dipenjara
#komen suami Ketua Hakim Negara
#Tengku Maimun Tuan Mat