Hantar makanan sambil hiburkan orang ramai

Sinar Harian
Julai 2, 2023 11:30 MYT
Emy berkata, 'content' dia menghantar makanan kemudian meminta pelanggan merakam aksinya menari kerana ingin melihat reaksi mereka. - Gambar/ Sinar Harian
SHAH ALAM : Bermula dengan aksi spontan membuat tarian singa kepada pelanggan sempena Tahun Baharu Cina, ‘content’ TikTok seorang penghantar makanan makin diterima dan berjaya menghiburkan jutaan orang.
Malah, salah satu video Mohd Zulhelmi Nazelan, 27, berjaya mendapat 7.8 juta tontonan, sesuatu yang tidak pernah dibayangkannya.
Lebih mesra dengan panggilan Emy, dia memberitahu mula menjadi penghantar makanan sejak dua tahun lalu iaitu semasa COVID-19 memuncak.
Keputusan itu dibuat demi kelangsungan keluarga memandangkan terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Dulu saya bekerja di kedai perabot dan elektrik tapi memandangkan PKP, pelanggan tidak ramai sedangkan pendapatan saya banyak bergantung pada komisen.
"Saya kemudiannya menjadi penghantar makanan separuh masa, sebelum ambil keputusan bekerja sepenuh masa sebab pendapatannya lebih baik.
"Alhamdulillah, saya serasi dengan kerja ini dan gembira dengan keputusan yang dibuat," katanya kepada Sinar Ahad.
Jelas Emy, 'content' dia menghantar makanan kemudian meminta pelanggan merakam aksinya menari kerana ingin melihat reaksi mereka.
Video pertama yang dibuat melibatkan seorang pelajar dan secara kebetulan ia berlaku semasa perayaan Tahun Baharu Cina.
"Bila hantar makanan, saya beritahu nak buat 'content' dan minta dia rakam. Pelanggan itu tidak tahu apa sehinggalah saya membuat aksi tarian singa untuknya.
"Dia pada mulanya terkejut tapi kemudian tersenyum kerana terhibur. Video itu diupload (muat naik) di TikTok saya (@emychachacha), tak sangka mendapat sambutan dan tular.
"Saya kemudiannya teruskan 'content' sebegitu kerana ramai yang minta. Kita faham, semasa COVID-19 ramai yang stres dan perkara kecil seperti ini walaupun mungkin dianggap tidak seberapa, tapi saya gembira apabila berjaya menghiburkan mereka," kata bapa kepada seorang anak itu.
Video yang dihasilkannya kini turut dipelbagaikan, namun identiti menari itu masih dikekalkan.
Emy turut bersyukur kerana video-video yang dibuat telah membuka peluang lain untuknya membuat pendapatan sampingan.
"Sekarang saya juga membuat 'content' untuk mereka yang berminat, tapi ia hanyalah sampingan apabila ada masa terluang dan idea.
"Saya masih lagi bekerja sebagai penghantar makanan sepenuh masa dan akan terus menggembirakan orang ramai," jelasnya. - Sinar Harian
#rider Foodpanda #aksi menghiburkan #TikTok #emychachacha
;