Hantar gajet lama, rosak ke pusat pengumpulan e-sisa MCMC

Bernama
November 11, 2023 15:04 MYT
MCMC menggiatkan inisiatif hijau menerusi program KITAR yang mengumpul dan mengitar semula gajet lama bagi mencapai matlamat untuk mengurangkan jejak karbon. - Gambar hiasan
CYBERJAYA: Orang ramai boleh menghantar gajet lama atau rosak ke pusat pengumpulan e-sisa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) supaya ia dapat dikitar semula atau dilupuskan melalui proses yang betul, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching.
Dengan dianggarkan 364 juta e-sisa dihasilkan setiap tahun di negara ini, Teo berkata Kementerian Komunikasi dan Digital melalui MCMC menggiatkan inisiatif hijau menerusi program KITAR yang mengumpul dan mengitar semula gajet lama bagi mencapai matlamat untuk mengurangkan jejak karbon.
"Jangan buang sebarangan atau cara biasa ke tong sampah, sebab ada cara untuk kita kitar semula.
"Setiap e-waste (e-sisa) yang dihantar ke MCMC contohnya akan dihantar ke kontraktor yang berkepakaran. Kita pastikan bahan tersebut mempunyai elemen yang akan diekstrak jika dapat pakai semula atau dibuang menerusi prosedur ditetapkan, untuk mengurangkan e-waste di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program 'Carbon Footprint En Route to Nature' di sini hari ini.
Teo berkata jumlah e-sisa akan sentiasa meningkat memandangkan setiap orang mempunyai sekurang-kurangnya dua gajet seperti komputer riba dan telefon bimbit.
Sementara itu, program hari ini anjuran MCMC bersempena ulang tahun ke-25 suruhanjaya itu yang bertemakan 'Harmoni Digital, Simfoni Bumi' bertujuan menyelia dan mengurangkan jejak karbon serta meminimumkan impak alam sekitar, dengan tumpuan kepada perubahan iklim menerusi penanaman pokok.
Teo berkata lebih 300 pokok ditanam oleh warga MCMC pada program berkenaan.
-- BERNAMA
#Nie Ching #gajet lama #pusat pengumpulan e-sisa #cara lupus gajet
;