Hannah Yeoh saran lebih ramai vendor sertai inisiatif Sukan Rahmah

Astro Awani
Ogos 1, 2023 20:51 MYT
Objektif Sukan Rahmah untuk membantu golongan kurang berkemampuan memiliki peralatan sukan sekali gus membantu mereka mengembangkan bakat sukan masing-masing ke peringkat yang lebih tinggi. - Facebook screengrab
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyeru para vendor mengikut jejak langkah AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON BiG) memperkenalkan Program Inisiatif Sukan Rahmah.
Menurut Hannah, insiatif ini untuk mengembangkan program Rahmah yang selama ini lebih tertumpu kepada menu mampu milik diperkenalkan oleh bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
"Saya percaya KPDN sentiasa berhubung dengan beberapa lagi vendor dan Rahmah ini memang dibuka untuk semua yang menyahut seruan kerajaan. Seperti apa yang sering Allahyahram Salahuddin katakan, beliau mahu melihat inisiatif ini sebagai satu nilai sistem hidup rakyat Malaysia yang sentiasa mengingati orang tak berkemampuan.
"Dan dalam sukan juga kita menggalakkan semua pihak terutama untuk membantu kanak-kanak. Jangan asyik kita bagikan mainan. Mungkin kita boleh beri perkakasan untuk bersukan," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif itu di Pasar Raya AEON BiG Klang, yang dihadiri Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed.
Tambah Hannah, objektif Sukan Rahmah untuk membantu golongan kurang berkemampuan memiliki peralatan sukan sekali gus membantu mereka mengembangkan bakat sukan masing-masing ke peringkat yang lebih tinggi.
Menerusi program itu, AEON BiG menyediakan lebih 100 jenis peralatan dan pakaian sukan dengan pembeli boleh menikmati diskaun antara 10 hingga 30 peratus.
Promosi berkenaan akan berlangsung dari 1 Ogos hingga 14 Oktober 2023 sekali gus bertepatan dengan sambutan Hari Sukan Negara yang akan berlangsung pada 14 Oktober depan.
#Salahuddin Ayub #Hannah Yeoh #Belia #Sukan Rahmah
;