Hannah Yeoh mohon batal keterangan saksi dalam kes saman fitnah Kamarul Zaman

Shafiqa Azami
Februari 3, 2025 16:45 MYT
Hannah memohon Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keterangan empat saksi yang dikemukakan bagi menyokong pembelaan Kamarul Zaman Yusoff. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pada Isnin memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membatalkan keterangan empat saksi yang dikemukakan bagi menyokong pembelaan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff, dalam kes saman fitnah yang difailkannya.
Permohonan tersebut dibangkitkan peguam Hannah, Sangeet Kaur Deo, semasa prosiding hari ini.
Sangeet dalam hujahnya berkata, bantahan pihaknya tertumpu kepada keterangan empat saksi pembelaan, iaitu bekas Senator Dewan Negara dan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ibrahim Abu Shah; Pengerusi Gabungan Nasionalis, Aminudin Yahaya; bekas Pengarah Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Harizal Hassan; dan penulis bebas, Helen Ang.
Beliau berkata, keterangan saksi tersebut berada di luar skop pembelaan Kamarul, yang hanya merangkumi justifikasi, keistimewaan berkelayakan, dan ulasan adil.
Namun, pihak defenden yang diketuai Khairul Azam Abdul Aziz, menegaskan bantahan tersebut hanya dikemukakan pada hari ini tanpa notis awal.
Beliau berhujah peraturan Majlis Peguam telah menetapkan pihak lawan harus dimaklumkan lebih awal mengenai sebarang bantahan, bagi memastikan pihak defenden mempunyai masa yang mencukupi untuk menyediakan hujah balas.
Hakim Aliza kemudiannya membenarkan Sangeet mengemukakan hujah lisan mengenai bantahan tersebut hari ini, manakala Khairul diberikan tempoh sehingga esok untuk menyediakan hujah balas sebelum keputusan dibuat.
Dalam saman yang difailkan pada 2022, Hannah selaku plaintif berkata, Kamarul Zaman memuat naik dua hantaran Facebook antara 10 Mei dan 17 Mei 2017, iaitu beliau mendakwa bahawa plaintif mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya.
Pensyarah itu turut memetik biografi Hannah Becoming Hannah: A Personal Journey bagi memacu agenda Kristian dan turut mendakwa beliau berniat untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian.
Dalam pernyataan pembelaannya sebelum ini, Kamarul Zaman berkata kedua-dua hantaran Facebooknya tidak berunsur fitnah dan beliau mempunyai tanggungjawab untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai kandungan buku itu kerana bimbang mereka mungkin terpengaruh dengan Kristian.
#Hannah Yeoh #mahkamah #saman fitnah #Kamarul Zaman
;