Hannah sokong arahan pembatalan Festival Good Vibes 2023

Bernama
Julai 23, 2023 07:59 MYT
Hannah Yeoh (tengah) ketika hadir pada Perasmian Penutup Kejohanan Antarabangsa Bola Sepak Orang Kudung Piala Artalive 2023 di EV Arena Shah Alam Seksyen 13 hari ini. --fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyokong arahan pembatalan penganjuran Festival Good Vibes 2023 susulan aksi dan kenyataan biadab kumpulan pop rock dari United Kingdom, The 1975 di Sepang, kelmarin.
Hannah berkata tindakan kumpulan itu tidak wajar dan tidak menghormati syarat penganjuran persembahan.
"Saya telah hubungi Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan menyokong tindakan beliau kerana setiap penganjuran program ada syarat dan terma yang telah dipersetujui penganjur, jadi penganjur perlu patuh dengan syarat yang diberikan.
"Saya berharap kumpulan belia di Malaysia tahu kita menyokong kebebasan untuk bersuara, kebebasan untuk ekspresi tetapi ada batasnya dan kena ikut undang-undang di Malaysia," katanya ketika ditemui pada majlis penutup Kejohanan Artalive Challenge Cup Amputee Football 2023 di sini, hari ini.
Semalam, Fahmi yang menyifatkan tindakan kumpulan itu sebagai sangat biadap, telah mengarahkan supaya penganjuran Festival Good Vibes 2023 yang masih berbaki sehingga hari ini dibatalkan serta-merta.
Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) semalam memutuskan untuk menyenaraihitamkan kumpulan itu daripada membuat sebarang persembahan di negara ini.
Sewaktu persembahan Jumaat lepas, vokalis The 1975 Matty Healy dikatakan memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain berkelakuan lucah dan membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
Terdahulu, Hannah merasmikan majlis penutup kejohanan itu yang disertai empat pasukan anjuran Persatuan Bolasepak Orang Kudung Malaysia (MAFA) serta menonton aksi final membabitkan Malaysia dan Indonesia yang dimenangi pasukan negara jiran itu 2-0.
Hannah turut mengumumkan peruntukan RM30,000 kepada MAFA bagi menampung kos penganjuran kejohanan yang berlangsung sejak Jumaat lepas.
"Saya mahu kumpulan ini tahu bahawa ada kehidupan selepas amputasi dan saya berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) boleh terus menyokong usaha untuk mereka kekal sihat dan mempunyai platform bagi berinteraksi dengan kawan-kawan lain," katanya.
-- BERNAMA
#Hannah Yeoh #Festival Good Vibes #The 1975 #kenyataan biadab