Hanipa cabar Zahid debat isu Sosma

Sinar Harian
Julai 24, 2018 12:14 MYT
Hanipa (kanan) sedia berdebat dengan Ahmad Zahid (kiri) berhubung isu Sosma yang mahu ditarik balik pelaksanaannya oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin menawarkan diri untuk berdepan dengan presiden UMNO bagi menjelaskan kewajaran kerajaan membatalkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
Menurutnya, melalui kaedah itu juga orang ramai dapat difahamkan mengapa Pakatan Harapan (PH) memilih untuk menarik balik pelaksanaan akta yang turut dikenali sebagai Sosma itu.
“Selain mendidik masyarakat, ia juga dapat menghapuskan kekeliruan yang cuba ditonjolkan oleh ketua pembangkang berhubung isu Sosma,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu memandang serius langkah kerajaan untuk membatalkan Sosma yang digubal oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Katanya, Sosma digubal semata-mata bertujuan menjaga ketenteraman awam daripada anasir yang boleh menggugat keselamatan negara.
“Sosma tidak langsung menyentuh soal politik individu.
“Antara elemen pentingnya ialah kesalahan yang menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau menyebabkan sebilangan besar warga takutkan keganasan, membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong dan memudaratkan ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya.
BACA: Kerajaan akan mansuhkan Sosma - Dr Mahathir
BACA: Batal SOSMA buka ruang provokasi kaum, agama - Zahid
BACA: Tempoh 28 hari tahanan SOSMA terus dikuat kuasa 5 tahun lagi
Sosma ialah akta yang digubal di Parlimen bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dianggap mudah disalahgunakan oleh kerajaan.
Bagaimanapun kedua-dua akta tersebut dikecam kebanyakan parti kerana dilihat boleh dimanipulasikan untuk tujuan politik.
Ahli Parlimen Sepang itu berkata, PH sentiasa menghormati hak dan kebebasan Ahmad Zahid untuk menyatakan pandangannya termasuk dalam isu Sosma.
Kayanya, hak seseorang untuk bersuara memang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Atas kapasiti rasmi saya sebagai timbalan menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang, InsyaAllah saya bersedia untuk berdebat dengan ketua pembangkang berhubung isu Sosma tersebut.
“Saya yakin pihak media seperti RTM atau Astro Awani sedia menyiarkan perdebatan ini secara langsung di televisyen jika ketua pembangkang bersedia menyahut cabaran saya ini,” katanya.
#Ahmad Zahid Hamidi #akta #Akta Kesalahan Keselamatan #Barisan Nasional #batal #debat #Hanipa Maidin #keganasan #kekeliruan #kerajaan #keselamatan #ketenteraman awam #Pakatan Harapan #pembangkang #politik #SOSMA #tarik balik #undang-undang
;