Hamzah sahkan penahanan bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh

Astro Awani
Februari 10, 2022 14:54 MYT
Hamzah berkata penahanan tersebut dibuat mengikut prosedur perundangan negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri hari ini mengesahkan penahanan bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia M. Khairuzzaman.
Menurut menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, penahanan tersebut telah dibuat mengikut prosedur perundangan negara.
Menjelaskan perkara itu dalam sidang media, Hamzah menambah penahanan dibuat susulan ada permintaan daripada negara asal.
"Ya sudah tentu saya sedar (penahanan tersebut) sebagai Menteri Dalam Negeri. Tetapi segala apa yang berlaku adalah sesuatu yang mengikut perundangan.
"(Sebab ditahan) Mengikut perundangan, kalau ada kesalahan kena tangkap... kalau ada permintaan daripada negara asal, kalau kita rasa ada kebenaran, kita akan lakukan (tangkapan).
"Segala apa yang kita lakukan adalah mengikut prosedur," katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Khairuzzaman yang merupakan pesara mejar tentera, dituduh terlibat dalam kes Pembunuhan Penjara 1975.
Beliau kemudian dibebaskan sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia pada 2007.
#Hamzah Zainudin #Kementerian Dalam Negeri #M Khairuzzaman #Bangladesh
;