Hamzah jamin masalah bekalan minyak masak selesai dalam tempoh seminggu
Harits Asyraf Hasnan
November 9, 2016 16:58 MYT
November 9, 2016 16:58 MYT
Masalah bekalan minyak masak paket yang didapati kurang di pasaran bakal selesai dalam tempoh seminggu.
Jaminan itu diberi Menteri Pedagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika melakukan tinjauan pembungkusan minyak masak di sini hari ini.
"Pada saya, minggu depan (akan) selesai sebab bila kita tukar dia konsep daripada botol kepada semua dalam paket, dia (pengilang) ada sedikit masalah.
"Mereka yang sebelum ini jual dalam botol, terpaksa mencari kawan-kawan yang boleh membungkus semula jenama mereka ke paket. Itu yang agak lewat sedikit. Saya terima hakikat," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan tersebut.
Katanya, orang ramai tidak perlu khuatir sekali gus menghentikan pembelian panik minyak masak.
Pada masa sama, tegasnya penguatkuasa KPDNKK juga akan meneruskan pemantauan di restoran-restoran termasuk industri makanan bagi memastikan mereka tidak menggunakan minyak masak bersubsidi.
Beliau sebelum itu membuat pemantauan penetapan harga barang di Pasar Besar Klang.
Dalam operasi hampir tiga jam itu, beliau turut meninjau bekalan minyak masak di beberapa peruncit sekitar Klang.
Beliau mendapati, bekalan minyak masak termasuk botol dan paket masih berada di pasaran sekali gus memenuhi keperluan pengguna.
Dalam pemantauan bersepadu itu juga, beberapa warga asing tanpa permit yang bekerja di pasar tersebut turut di tahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).