Hamza: Agbimuddin masih dikepung

Hasbullah Awang Chik
Mac 13, 2013 04:13 MYT
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib percaya ketua kumpulan penceroboh militan Agbimuddin Kiram masih terkepung di kawasan operasi.
"Sebagai seorang ketua dia tidak seharusnya lari dan meninggalkan ahli kumpulannya," menurut Hamza pada satu sidang media sebentar tadi.
Operasi mengesan dan menjejak masih diteruskan dan dilebarkan dari Kampung Tanduo ke Sungai Nyamuk.
Operasi juga masih berlangsung di sekitar kawasan Kampung Tanjung Batu. Pasukan keselamatan telah dikerah untuh mengeluarkan mayat pengganas untuk dibedah siasat.
"Setakat ini jumlah kematian pengganas ialah 56, dan 25 daripada mereka telah dikeluarkan dari kawasan operasi," menurut Hamza yang menyampaikan taklimat Ops Daulat pada hari kesembilan.
Manakala bilangan anggota keselamatan yang terkorban dan tercedera masing-masing sembilan orang.
97 pengganas yang ditahan pihak berkuasa akan didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah khas) 2012 (Sosma) dan beberapa akta lain.
Hamza juga meminta orang ramai agar tidak memasuki kawasan operasi dan dapat menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa.
Sehingga jam sepuluh pagi tadi, tiada pertempuran baru yang berlaku di antara pihak keselamatan negara dengan pengganas.
Keadaan di Semporna dan Lahad Datu dilaporkan terkawal dan sekolah telah dibuka kecuali tiga buah sekolah yang berada di kawasan operasi.
Murid-murid yang terjejas dijangka akan dipindahkan ke sebuah sekolah lain bagi memastikan pembelajaran mereka tidak terganggu terutama murid yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi.
Pesuruhjaya Polis Sabah itu turut memberitahu penduduk Kampung Tanduo hanya dapat kembali ke rumah mereka setelah siasatan berhubung kewarganegaraan dan hak milik tanah selesai.
"Operasi telah dipanjangkan ke Sungai Bilis di gugusan Labian dan hanya tiga kampung yang terlibat dalam Ops Daulat," tambah Hamza.
Ditanya mengenai pengecaman mayat pengganas, Hamza berkata tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai dan mereka diklasifikasikan sebagai pengganas kerana berada dalam kawasan larangan operasi.
#Agbimuddin #hamza #kampung tanduo #Ops Daulat #Sungai Nyamuk.