Hampir sebulan di PPS, mangsa banjir di Segamat dibenar pulang
Siti Nur Aqilla Omar
November 27, 2022 21:23 MYT
November 27, 2022 21:23 MYT
JOHOR BAHRU: Setelah hampir sebulan mendiami Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat banjir 'termenung', 17 mangsa daripada enam keluarga dibenarkan pulang.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), kesemua mangsa ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak, Segamat sejak 2 November lalu.
Katanya, kesemua mangsa dipindahkan ke PPS selepas kediaman mereka di Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 dinaiki air dan mengambil masa yang lama untuk surut.
"PPS ini ditutup jam 7 malam selepas kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Dengan penutupan PPS terakhir itu, negeri Johor pulih dari banjir.
Pada 2 November lalu, PPS itu dibuka selepas bacaan paras air Sungai Muar, Buloh Kasap terus meningkat dan menyebabkan limpahan air ke beberapa rumah penduduk.