Hampir RM10 bilion dibelanja bagi penyakit tidak berjangkit - Dr Zaliha

Bernama
November 23, 2023 14:00 MYT
Dr Zaliha berkata jumlah itu adalah anggaran yang dibuat berdasarkan perbelanjaan pada 2017 dengan laporannya diterbitkan tahun lepas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sejumlah RM9.65 bilion telah dibelanjakan bagi menangani penyakit tidak berjangkit (NCD), iaitu 16.8 peratus daripada perbelanjaan kesihatan negara.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata jumlah itu adalah anggaran yang dibuat berdasarkan perbelanjaan pada 2017 dengan laporannya diterbitkan tahun lepas.
Beliau berkata jumlah perbelanjaan untuk rawatan diabetes sahaja mencecah RM4.38 bilion atau 45.38 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan dalam rawatan penyakit NCD.
"Ini diikuti rawatan penyakit kardiovaskular dengan sejumlah RM3.93 bilion atau 40.73 peratus dan RM1.34 bilion atau 13.89 peratus bagi rawatan kanser," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Dr Zaliha menjawab pertanyaan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang ingin tahu jumlah dibelanjakan untuk menangani NCD terutamanya diabetes dan perancangan untuk menangani prevalens NCD yang tinggi di Malaysia.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata perbelanjaan bagi rawatan NCD itu merangkumi perbelanjaan kemasukan ke hospital, penjagaan primer di klinik kesihatan, rawatan pesakit luar di hospital, pemeriksaan dan ujian kesihatan serta pembiayaan perubatan.
Menurutnya pada 2017, NCD telah memberi impak negatif kepada ekonomi dengan kos tidak langsung akibat penyakit itu adalah RM12.88 bilion dalam bentuk kehilangan produktiviti.
"Diabetes mencatatkan kehilangan produktiviti tertinggi sebanyak RM5.74 bilion dan kardiovaskular RM5.32 bilion," katanya.
Sebagai langkah intervensi dan usaha advokasi mengenai bahaya penyakit NCD, Dr Zaliha berkata kementerian akan melancarkan satu pelan advokasi gula dalam masa terdekat.
"Kami juga dalam fasa akhir sesi libat urus dengan persatuan penjaja dan peniaga kecil di Putrajaya untuk sediakan minuman tanpa gula kepada masyarakat bagi kempen kurangkan gula dengan slogan 'satu sudu teh dah cukup, kurang lebih baik, tiada terbaik'," katanya.
-- BERNAMA
#NCD #penyakit tidak berjangkit #dr zaliha #perbelanjaan Malaysia
;