Hampir lapan tahun dayung bot, wanita Orang Asli terharu dikurnia enjin bot oleh Sultan Johor

Astro Awani
September 28, 2023 20:26 MYT
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan enjin bot kepada Lad (tengah) - Foto/Royal Press Office (RPO)
KUALA LUMPUR: Walaupun sudah mencecah usia hampir 70 tahun, tetapi Lad Bachik dari Kampung Orang Asli Kuala Masai, Johor Bahru masih cekal mendayung bot mencari hasil laut bagi menyara keluarganya.
Sepanjang hampir lapan tahun, wanita itu dan ibunya silih berganti mendayung bot tanpa sikit pun mengeluh dengan nasib mereka.
Tetapi kini, Lad bersama anaknya, Michael Chelvaraj, 31, mampu menarik nafas lega apabila menerima enjin bot 15 kuasa kuda kurniaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.
"Patik sekeluarga amat menghargai kurniaan Baginda. Sesungguhnya kurniaan ini besar maknanya kepada kami mencari rezeki di laut.
"Walaupun sudah berusia, namun ibu masih kuat ke laut mencari hasil bersama saya,” kata Michael memetik laporan Royal Press Office (RPO) hari ini.
Berkongsi lanjut, Michael berkata Sultan Ibrahim sememangnya amat dekat di hati masyarakat Orang Asli, dan menitikberatkan kebajikan rakyat termasuk masyarakat Orang Asli dan nelayan.
“Baginda sentiasa mengambil berat kebajikan rakyat khususnya Orang Asli dan mengurniakan pelbagai bantuan.
“Sewaktu pandemik COVID-19, ramai nelayan tidak dapat turun ke laut. Namun, Baginda mengurniakan bantuan makanan kepada rakyat di pelbagai kawasan dalam meringankan beban mereka,” ujar Michael lagi.
Sultan Johor sentiasa mengurniakan pelbagai bantuan kepada masyarakat Orang Asli dalam meringankan beban mereka.
Pada 2020, Baginda mengurniakan lima enjin bot kepada nelayan dari Pulau Aur, Mersing.
Selain itu, Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) juga menyampaikan bantuan makanan dari masa ke masa kepada golongan memerlukan di seluruh daerah termasuk nelayan dan masyarakat Orang Asli.
#Orang Asli #COVID19 #Yayasan Sultan Ibrahim Johor #enjin bot
;