Hampir dibaham ular sawa 90kg

Sinar Harian
November 6, 2018 10:12 MYT
Azwan (empat, kanan) bersama anggota memegang ular seberat 90kg yang berjaya ditangkap. -Foto Sinar Harian
Seekor ular sawa sepanjang kira-kira 6 meter berjaya ditangkap ketika cuba untuk memasuki kandang kambing di Kampung Pak Pa, Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu, semalam.
Pegawai Bencana dan Operasi, Kuala Nerus/Kuala Terengganu, Leftenan (PA) Azwan Abdullah berkata kehadiran reptilia seberat 90kg berkenaan disedari Tuan Syed Tuan Ngah, 50, ketika membuat pemeriksaan di kandang miliknya itu.
“Sebaik dimaklumkan mengenai kes itu pada jam 6 petang, seramai tiga anggota diketuai pegawai pasukan, Leftenan Muda (PA) Samsudin Abd Rahman bergegas ke lokasi dan setibanya di sana didapati ular berkenaan tersangkut pada pukat yang dipasang berdekatan kandang kambing.
“Anggota kami bersama penduduk kampung mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkap ular itu berikutan keadaannya yang agak agresif,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di ibu pejabat APM Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, reptilia yang ditangkap itu dibawa ke ibu pejabat sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Azwan turut mengingatkan orang ramai terutamanya yang tinggal atau melakukan aktiviti di kawasan berpaya untuk lebih berhati-hati.
“Kebiasaannya ular sawa sangat aktif pada musim hujan sebegini, jadi sentiasa pastikan keselamatan diri diberi keutamaan.
“Jika terjumpa ular sawa atau apa sahaja spesies haiwan berbisa lain segera hubungi pihak kami atau agensi berkaitan lain,” katanya.
#Azwan Abdullah #kambing #Kampung Pak Pa #kandang #Perhilitan #Samsudin Abd Rahman #ular sawa #Wakaf Mempelam
;