Hampir 80 peratus veteran ATM ceburi bidang keusahawanan - Adly
Bernama
Julai 17, 2023 18:21 MYT
Julai 17, 2023 18:21 MYT
KOTA BHARU: Hampir 80 peratus daripada 200,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menceburkan diri dalam bidang keusahawanan selepas bersara.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata ia melibatkan pelbagai bidang termasuk perkhidmatan, pertanian dan pelancongan.
"Tugas kita sekarang untuk memastikan bidang keusahawanan yang diceburi itu boleh berjaya. Jadi kita sediakan latihan kepada mereka, pada masa yang sama kita bagi bantuan untuk memastikan kerjaya itu dapat memberi kehidupan yang lebih baik kepada veteran," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat bengkel pesara ATM Nik Mohd Fahizol Nik Mohd Mustapha di Kampung Bechah Kura, Melor, di sini hari ini, sempena Program Peduli Veteran Peringkat Negeri Kelantan.
Pada program itu, Adly telah menyerahkan sebuah rumah kepada seorang veteran dan sumbangan RM10,000 untuk menambah baik sebuah kedai roti canai seorang veteran di Pasir Puteh.
Adly berkata siri jelajah itu bukan sahaja memfokuskan kepada aspek kesihatan, perumahan, pendidikan dan kebajikan veteran tetapi juga bidang keusahawanan.
"Selain itu kita juga terus mengadakan dialog dengan persatuan veteran di seluruh negara untuk mengenal pasti permasalahan yang dialami pesara dan cuba menyelesaikan isu berkaitan dengan sewajarnya demi kebajikan mereka," katanya.
Dalam pada itu Adly memaklumkan lebih 100,000 bekas anggota yang tidak berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) di seluruh negara.
Katanya ketika ini, jumlah yang mendaftar dengan JHEV adalah kira-kira 200,000 orang dengan 79,000 daripadanya anggota berpencen dan selebihnya tidak berpencen.
"Kita hormati keputusan sesetengah anggota yang mahukan privasi dan mahu bebas dari sistem lama namun pada masa yang sama bagi veteran yang memerlukan digalakkan berdaftar untuk kita bagi bantuan dan sokongan" katanya.
Sementara itu pesara ATM, Nik Mohd Fahizol yang mengusahakan bengkel membaiki pacuan empat roda selepas bersara lima tahun lepas memberitahu mampu meraih pendapatan lima angka sebulan.
Katanya pengalaman dan ilmu yang diperoleh ketika berkhidmat sebagai anggota ATM dalam Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja sebelum ini memberi kelebihan kepadanya mengurus perniagaan yang diceburinya kini.
-- BERNAMA