Hampir 80 peratus kekurangan buruh industri perladangan diselesaikan - Fadillah
Bernama
Mac 14, 2023 15:10 MYT
Mac 14, 2023 15:10 MYT
KUALA LUMPUR: Hampir 80 peratus masalah kekurangan tenaga buruh dalam industri perladangan telah diselesaikan sehingga kini dengan bakinya sedang giat diusahakan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, bagaimanapun masalah kekurangan tenaga buruh masih kekal mencabar terutamanya di tempat-tempat tertentu, contohnya seperti Sarawak kerana negeri itu tidak menerima buruh dari Bangladesh.
"Kita sudah hampir selesai (masalah buruh), saya rasa hampir 80 peratus kini telah masuk tetapi cabarannya adalah di bahagian tertentu seperti di Sarawak, kerana mereka tidak mahu menerima buruh Bangladesh untuk bekerja di Sarawak.
"Jadi, sudah pastinya ia adalah satu cabaran untuk mendapatkan lebih banyak buruh Indonesia untuk masuk tetapi sejauh mana prosedur proses berkenaan boleh dilakukan. Dari segi kelulusan permohonan, hampir 100 peratus telah dicapai," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Projek Sawit Positif Rakyat (Projek P3) di sini hari ini.
Beliau berkata dari segi kelulusan (kemasukan buruh asing), ia sudah ada, tetapi cabarannya ialah membawa orang dari negara sumber kerana amalan, peraturan dan undang-undang dari negara sumber bukan dalam kawalan kerajaan Malaysia.
Sementara itu, Fadillah menekankan kepentingan Malaysia melibatkan masyarakat antarabangsa, sama ada perunding atau pemain industri, serta memenuhi piawaian, amalan serantau dan juga antarabangsa.
Beliau berkata piawaian antarabangsa mesti diiktiraf bagi pemain industri untuk memenuhi jangkaan mereka yang membeli produk atau perkhidmatan Malaysia.
-- BERNAMA