Hampir 8,500 KRT di seluruh negara, kurang lima peratus tidak aktif

Bernama
Mac 1, 2024 21:20 MYT
Azman (kanan) menyeru agar lebih ramai individu daripada pelbagai lapisan umur menyertai KRT, seterusnya menjadikan organisasi itu lebih efisien. - Bernama
PADANG BESAR: Terdapat hampir 8,500 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara setakat ini dan daripada jumlah itu hanya kurang lima peratus didapati tidak aktif, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Azman Mohd Yusof.
Beliau berkata angka itu turut menunjukkan penambahan dan penglibatan golongan muda dalam aktiviti KRT, sekali gus mempelbagaikan program yang dilaksanakan berbanding hanya tertumpu kepada tanggungjawab menjaga kawasan tetangga.
"Alhamdulillah, di Perlis terdapat 140 KRT dan apa yang saya lihat hari ini, banyak golongan muda yang terlibat, ia sudah tidak sama seperti dahulu lagi, kini generasi muda juga mempunyai tugas tersendiri di dalam KRT.
"Apabila ada golongan muda, akan berlaku perkembangan aktiviti seperti bidang ekonomi, keselamatan, ketahanan komuniti dan pendidikan," katanya kepada Bernama selepas merasmikan KRT Taman Padang Besar Indah di sini hari ini.
Azman turut menyeru agar lebih ramai individu daripada pelbagai lapisan umur menyertai KRT, seterusnya menjadikan organisasi itu lebih efisien.
-- BERNAMA
#Kawasan Rukun Tetangga #KRT #tidak aktif #Azman Mohd Yusof #gpolongan muda
;