Hampir 700,000 pelancong lawat Kelantan enam bulan pertama 2024 - Exco

Muhafandi Muhamad
Jun 30, 2024 10:15 MYT
Dianggarkan 700, 000 pelancong luar dan dalam negara dicatatkan memasuki negeri Kelantan dalam tempoh enam bulan bermula Januari hingga Jun sempena Tahun Melawat Kelantan 2024 tahun ini, kata Kamarudin.
GUA MUSANG: Dianggarkan 700, 000 pelancong luar dan dalam negara dicatatkan memasuki negeri Kelantan dalam tempoh enam bulan bermula Januari hingga Jun sempena Tahun Melawat Kelantan 2024 tahun ini.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md. Noor berkata, kerajaan negeri menyasarkan dua juta pengunjung ke Kelantan dalam tempoh setahun.
Dalam masa sama, kerajaan Kelantan juga, kata beliau, komited jumlah 10 juta pengunjung dapat dicatatkan dalam tempoh masa lima tahun.
“Setakat ini sudah separuh tahun mengikut rekod saya dapat sudahmelebihi 600,000 pengunjung… hampir 700,000.
“(Jumlah) itu bukan (pelancong) luar negeri saja tetapi campur dengan domestik. Masalah (Kelantan) kita tak ada airport international (lapangan terbang antarabangsa), jadi kita mengharapkan untuk mencatat jumlah kemasukan dari luar negara… kita harap (kemasukan pelancong dari) pintu masuk sempadan Kelantan-Thailand seperti Rantau Panjang, Pangkalan Kubur dan Buketa-Bukit Bunga.
“Paling ramai datang ke Kelantan melalui Rantau Panjang. Itu pun kita dapat kesan jumlah pengunjung melalui pintu masuk ketiga-tiga bersempadan dengan thailand (yang) sudah banyak meningkat,” kata Kamarudin.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena program Night Walk With Tengku Mahkota Kelantan peringkat Jajahan Gua Musang 2024 di sini, malam tadi.
Kira-kira 1,000 rakyat menyertai acara berjalan bersama Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan pelbagai persembahan kebudayaan dipersembahkan di sepanjang laluan seperti tarian sewang, tarian singa, silat, gendang Cina dan gendang India.
#Kelantan #pelancong #Tahun Melawat Kelantan 2024 #Kamarudin Md Noor
;