Hampir 7,000 PATI di Sabah diusir keluar sejak Oktober 2020 - Hamzah
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Mac 9, 2021 12:21 MYT
Mac 9, 2021 12:21 MYT
KOTA KINABALU: Hampir 7,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah telah berjaya diusir keluar sejak Oktober 2020.
Menteri Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pengusiran dilakukan tanpa kompromi kepada warga asing yang memasuki dan tinggal di negara ini secara haram.
Menurutnya bermula 1990 hingga 2021, seramai lebih 600,000 PATI berjaya diusir keluar.
"Dalam hal ini, KDN dan Kerajaan Negeri Sabah memutuskan untuk mengambil tindakan tegas tanpa kompromi termasuk pengusiran terhadap warga asing yang berada dalam Sabah secara haram.
"Berdasarkan rekod dari tahun 1990 hingga Mac 2021, seramai lebih 600,000 PATI, terutamanya dari Filipina dan Indonesia telah diusir keluar Sabah termasuk hampir 7,000 orang PATI yang diusir sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan Negeri Sabah yang baharu di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor," katanya selepas mengadakan kunjungan hormat delegasi KDN ke pejabat Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor pada Selasa.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan itu Hamzah berkata, Kerajaan Negeri Sabah menegaskan bahawa semua warga asing yang berhasrat untuk berada di negeri Sabah perlu melalui proses imigresen yang sah dan mematuhi lunas perundangan yang telah ditetapkan.
Tegasnya, dokumen perjalanan warga asing yang sah adalah amat penting pada ketika ini bagi menjayakan inisiatif kerajaan mengekang pandemik COVID-19 melalui pemberian suntikan vaksinasi kepada semua pihak, termasuk warga asing yang terlibat dalam sektor ekonomi dalam negara.
"Bagi memperkasakan kawalan keselamatan sempadan, Kerajaan Negeri Sabah juga telah meluluskan peruntukkan khas sebanyak RM500,000 bagi memantapkan pengoperasian di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE)," tambahnya.
#pendatang asing tanpa izin
#pati
#Sabah
#Hamzah Zainuddin
#kerajaan negeri
#Imigresen
#pandemik
#COVID-19