Hampir 500 penguat kuasa KPDN digerak di Kelantan, Terengganu, Pahang

Bernama
Jun 8, 2024 16:40 MYT
Ops Kesan 2.0 bertujuan untuk memastikan tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan, dengan mengguna pakai alasan pelarasan harga runcit diesel di stesen minyak. - Gambar hiasan/ KPDN
KUALA LUMPUR: Hampir 500 pegawai dan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) digerakkan bagi Ops Kesan 2.0 Pelaksanaan Penyasaran Subsidi Diesel yang bermula hari ini di Pantai Timur.

Ringkasan AI
  • Ops Kesan 2.0 Penyasaran Subsidi Diesel dilancarkan di Pantai Timur dengan lebih 500 pegawai KPDN.
  • Di Kelantan, 142 penguat kuasa akan pantau harga di premis perniagaan dan bertindak segera atas aduan.
  • Pahang dan Terengganu juga melaksanakan Ops Kesan 2.0 untuk cegah pencatutan dan kenaikan harga, serta terima aduan masyarakat.

Di KELANTAN, sebanyak 142 penguat kuasa KPDN dengan dibantu 86 Pegawai Pemantau Harga di seluruh negeri menjalankan pemeriksaan di premis perniagaan secara lebih efisien sempena operasi terbabit.
Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata mereka akan ditugaskan untuk menyemak harga di premis yang dikunjungi dan akan mengambil tindakan dalam masa 24 jam sekiranya menerima aduan tentang kenaikan harga di premis dilaporkan.
"KPDN Kelantan akan membuat pemantauan dan penguatkuasaan sepenuhnya berpandukan kepada Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011," katanya kepada Bernama hari ini.
Di PAHANG, Pengarah KPDN negeri Jezlily Jamaluddin berkata operasi berkenaan dilaksanakan setiap hari melibatkan kira-kira 150 anggota yang digerakkan di kawasan masing-masing di seluruh Pahang.
"Ops Kesan 2.0 diteruskan sebagaimana ops terdahulu dan ia antara lain bagi memantau kesan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dengan fokus bagi mengelak pencatutan," katanya.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau aduan boleh menghubungi KPDN menerusi aplikasi WhatsApp 012-6654292 atau 1-800-886-800 selain http://eaduan.kpdn.gov.my dan aplikasi ezADU KPDN.
Sementara itu, Pengarah KPDN TERENGGANU Saharuddin Mohd Kia berkata pihaknya akan menggerakkan 117 pegawai dan anggota penguat kuasa yang ditugaskan untuk melihat sebarang elemen kenaikan harga secara mendadak atau pencatutan oleh pemilik perniagaan yang tidak bertanggungjawab.
"Pegawai pemantau harga akan jalankan pemantauan harga setiap hari dan kalau ada amaran harga daripada Price Catcher (aplikasi perbandingan harga mudah alih oleh KPDN) berkenaan peningkatan harga, maka pasukan penguat kuasa kita akan buat pemeriksaan untuk lihat kalau ada elemen pencatutan.
"Pada masa sama, kalau ada aduan daripada pengguna yang memaklumkan ada peningkatan harga secara mendadak, kita akan buat pemeriksaan dan ambil tindakan mengikut AKHAP 2011," katanya.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali melancarkan Ops Kesan 2.0 Pelaksanaan Penyasaran Subsidi Diesel yang berkuat kuasa hari ini sebagai persiapan pelaksanaannya.
Beliau dilapor berkata Ops Kesan 2.0 bertujuan untuk memastikan tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan, dengan mengguna pakai alasan pelarasan harga runcit diesel di stesen minyak.
-- BERNAMA
#kpdn #Ops Kesan 2 0 #subsidi diesel #Pantai Timur
;