Hampir 500,000 individu terima vaksin melalui MOVAK - Halimah

Bernama
September 5, 2021 04:49 MYT
Halimah (tengah) berkata program bantuan makanan juga merupakan antara fokus di bawah 'KPI 100' kementerian selain program lain yang melibatkan gerak kerja ejen perpaduan. - Gambar fail
PORT DICKSON: Seramai 462,586 individu telah menerima suntikan vaksin menerusi program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di seluruh negara setakat 31 Ogos lepas.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata daripada jumlah itu 281,938 individu menerima dos pertama manakala selebihnya telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 sejak program itu mula dilaksanakan pada 26 Jun lepas.
"Pasukan MOVAK menggunakan 25 bas akan turun ke kawasan ladang kerana lokasinya jauh dari pusat pemberian vaksin. Tumpuan utama kita adalah pekerja ladang tidak kira masyarakat India atau tidak kerana jika nama ada dan vaksin mencukupi, semua akan diberikan vaksinasi.
"Saya harap melalui program dengan kerjasama termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 negeri akan membantu meningkatkan kadar imunisasi sekali gus negara mampu mencapai imuniti kelompok dengan segera," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan 150 kotak bantuan makanan melalui Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) kepada kaum India berpendapatan rendah (B40) di sini semalam.
Dalam pada itu, Halimah berkata pihaknya sedia menambah peruntukan bantuan makanan kepada masyakarat India B40 di seluruh negara terutama yang terkesan dengan pandemik COVID-19 dengan setakat ini peruntukan sedia ada adalah sebanyak RM12.4 juta yang memanfaatkan 73,883 keluarga.
"Program ini akan kita lakukan secara berterusan, banyak negeri masih berada di Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara, jadi sudah tentu bantuan makanan ini akan terus disalurkan kepada mereka yang memerlukan," katanya.
Halimah berkata program bantuan makanan itu juga merupakan antara fokus di bawah 'KPI 100' kementerian selain program lain melibatkan gerak kerja ejen perpaduan termasuk kawasan rukun tetangga dan Skuad Uniti.
-- BERNAMA
#Mobilisasi Vaksin Komuniti #Halimah Mohamed Sadique #vaksin COVID-19 #imuniti kelompok
;