Hampir 5,000 unit Bitcoin dirampas polis

Bernama
September 30, 2022 06:45 MYT
22 individu turut ditahan kerana terlibat menjalankan aktiviti perlombongan Bitcoin dengan menggunakan tenaga elektrik yang dicuri.
MANJUNG: Sebanyak 4,939 unit mesin bitcoin dirampas sepanjang Op Bitcoin dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bermula Januari 2021 hingga kini.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata rampasan itu dilakukan dalam operasi bersama unit Special Engagement Against Losses atau SEAL Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Manjung.
Menurutnya, 22 individu turut ditahan kerana terlibat menjalankan aktiviti perlombongan Bitcoin dengan menggunakan tenaga elektrik yang dicuri daripada talian bekalan elektrik TNB sepanjang tempoh itu.
"Kita telah lakukan 49 serbuan pada tahun lepas dan pada tahun ini sehingga September, 68 serbuan telah berjaya dilakukan, tahun lepas tangkapan kita buat 18 orang dan tahun ini empat orang.
"Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990 kerana mencuri bekalan elektrik serta melakukan khianat ke atas harta benda milik TNB," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Nor Omar berkata pihaknya akan menjalankan operasi secara berterusan dan memerangi kegiatan kecurian arus elektrik di dalam daerah Manjung.
-- BERNAMA
#manjung #Bitcoin #Op Bitcoin #Nor Omar Sappi
;