Hampir 5,000 peserta ketepi fahaman politik sertai Larian Keluarga Malaysia

Khalis Khadir
September 29, 2024 15:45 MYT
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap LKM akan menjadi acara tahunan kerana menerima penyertaan menggalakkan dan ia membantu YKM meraih dana untuk menjaga ribuan anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19.
CYBERJAYA: Larian Keluarga Malaysia (LKM) yang julung kali diadakan pada tahun ini berjaya menarik hampir 5,000 peserta merentasi fahaman politik, kaum dan agama.
Ia merupakan anjuran Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) bertujuan menyemai semangat perpaduan selain mengutip dana bagi membantu anak-anak yatim yang kehilangan insan tersayang akibat COVID-19.
Pengerusi YKM Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui terkejut dengan penyertaan menggalakkan terutama apabila ia melibatkan peserta dari 10 negara antaranya Jepun, Indonesia, Mesir dan Amerika Syarikat.
“Pada awalnya kita cuma sasar sekitar 2,000 peserta tapi syukur ramai yang sokong. Ini acara untuk semua kategori tidak kira agama, bangsa dan politik.
“Parti apa pun kita terbuka, ahli politik pembangkang juga turut serta. Jadi ini menggambarkan Keluarga Malaysia yang sebenar. Program ini bukan sahaja acara larian tetapi ibarat hari keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai acara berkenaan di Persiaran Floria, di sini, pada Ahad.
Beliau berharap ia akan menjadi acara tahunan kerana antara motif utama YKM ditubuhkan adalah bagi meringankan beban anak-anak yatim sehingga mereka berjaya meneruskan pendidikan ke menara gading.
Ketika ini, YKM memiliki lebih 6,000 anak yatim dan yatim piatu akibat kematian ibu bapa mereka kerana COVID-19.
"Kita akan jaga sehingga mereka keluar dari universiti dan jika mereka tidak masuk ke mana-mana institusi, kita tetap jaga mereka sehingga umur 18 tahun," ujarnya.
Dalam masa sama bekas Perdana Menteri itu memberitahu YKM turut mendapat dana RM5 juta setahun daripada kerajaan untuk menanggung perbelanjaan anak yatim yang semakin meningkat.
Antara yang turut serta dalam larian ini adalah bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang merupakan Duta LKM 2024 dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selain beberapa bekas atlet negara seperti Goh Liu Ying, Santokh Singh dan K Rajagobal.
LKM menawarkan tiga kategori iaitu kategori 5km (fun run), 10km (race) dan 21km (half marathon) bermula seawal pukul 6.30 pagi.
#Larian Keluarga Malaysia #ismail sabri yaakob #Khairy Jamaluddin
;