Hampir 5,000 anggota JBPM diatur gerak bagi membantu mangsa banjir di enam negeri
Bernama
Disember 18, 2021 02:50 MYT
Disember 18, 2021 02:50 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 4,819 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk Pasukan Bomba Bantuan telah diatur gerak bagi membantu kerja-kerja menyelamat dan memindahkah mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam negeri yang terjejas banjir, susulan hujan lebat yang berterusan sejak Jumaat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi kenyataan di Facebook berkata JBPM juga telah menggerakkkan 125 kenderaan angkut dan 214 bot ke kawasan banjir di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka setakat 12 tengah malam ini (18 Dis).
"Keadaan banjir di enam negeri khususnya Selangor agak teruk. Sejak dua malam lalu, para anggota dan aset Jabatan Bomba dan Penyelamat telah diatur gerak dan sentiasa bersedia untuk membantu semua mangsa yang terlibat.
"Untuk operasi di Negeri Selangor, seramai 1,577 anggota telah digerakkan. Bantuan keanggotaan juga telah dihantar dari WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya," katanya.
Reezal juga memaklumkan bahawa beliau telah berhubung dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari bagi tujuan penyelarasan dan menambah kekuatan anggota JBPM sekiranya keadaan bertambah buruk.
Dalam pada itu, beliau memohon mangsa yang terlibat di dalam kejadian banjir ini agar segera menghubungi talian kecemasan dan mematuhi arahan pihak berkuasa pada setiap masa.
-- BERNAMA