Hampir 400,000 orang dijangka guna laluan darat Malaysia - Singapura pada minggu pertama

Bernama
Mac 30, 2022 19:43 MYT
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyaksikan raptai (dry run) pembukaan sempadan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Tanjung Kupang, Gelang Patah hari inI. - Gambar BERNAMA
ISKANDAR PUTERI: Hampir 400,000 orang dijangka menggunakan laluan darat antara Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor dan Linkedua, pada minggu pertama pembukaan semula sempadan negara bermula Jumaat ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kesemua kaunter di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) iaitu di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di sini, dan Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru akan beroperasi sepenuhnya, bagi mengelakkan berlakunya kesesakan.
"Ketika prapandemik, hampir 400,000 pengguna masuk dan keluar setiap hari, jadi 400,000 orang ini kita jangkakan untuk tujuh hari sekurang-kurangnya dari 1 hingga 7 April. Semua kaunter akan dibuka dan beroperasi 100 peratus di kedua-dua CIQ, mereka juga telah membuat segala persediaan tersebut.
"Jabatan Penerangan Johor juga akan menyediakan infografik yang akan dipaparkan di sosial media, supaya pengembara tahu apa prosedur operasi standard (SOP) dan keperluan, paling penting mereka perlu muat turun aplikasi MySejahtera sebelum masuk ke Malaysia," katanya pada sidang media selepas meninjau 'dry run' pembukaan semula sempadan di Kompleks CIQ KSAB di Tanjung Kupang, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
#sempadan dibuka #laluan darat #Malaysia #Singapura
;