Hampir 40 tan barangan dikumpul untuk penduduk Gaza melalui Ops Ihsan
Fareez Azman
Oktober 22, 2023 20:01 MYT
Oktober 22, 2023 20:01 MYT
KUALA LUMPUR: Hampir 40 tan barangan bantuan kemanusiaan dengan nilai lebih RM1.2 juta berjaya dikumpul 40 badan bukan kerajaan (NGO) dalam tempoh 24 jam bagi misi Ops Ihsan ke Gaza.
Menurut Sekretariat Ops Ihsan, Syahrir Azfar Saleh, kesemua barangan itu ditempatkan di gudang Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) sebelum dihantar ke Palestin dalam masa terdekat.
"Inisiatif ini digerakkan Kementerian Luar... kita gembleng tenaga 40 NGO di mana gerakan ini kita panggil sebagai Ops Ihsan. Seperti disebutkan Perdana Menteri, ini cara ihsan rakyat Malaysia menyatakan solidariti kita untuk membantu mereka di Gaza.
"Walaupun bukan kita yang pergi, tetapi biar barangan bantuan ini sampai ke sana. Di peringkat Sekretariat Ops Ihsan, kita dah putuskan beberapa barangan yang penting untuk kita hantar ke Gaza.
"Antara barangan itu adalah peralatan perubatan, barangan keperluan bayi, makanan serta khemah dan lampu solar," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Ahad.
Beliau berkata, rakyat Malaysia yang ingin menyumbang barangan keperluan untuk rakyat Palestin boleh berhubung dengan Sekretariat Ops Ihsan atau Mapim untuk maklumat lanjut.