Hampir 40 peratus koperasi dikenal pasti tidak aktif dan dorman - Noh

Bernama
Ogos 12, 2022 22:18 MYT
Tan Sri Noh Omar (dua, kiri) menandatangani plak ketika merasmikan Pelancaran Koperasi Sukarelawan Rakyat Selangor dan Sambutan Bulan Kemerdekaan Rela Daerah Kuala Selangor, hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA SELANGOR: Hampir 40 peratus atau 5,873 koperasi daripada 14,834 koperasi di seluruh negara dikenal pasti sebagai tidak aktif dan berstatus dorman, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.
Beliau berkata berdasarkan rekod yang diperoleh sehingga tahun lepas, pihaknya akan menghantar pegawai daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di setiap negeri bagi memeriksa koperasi yang berstatus dorman sebelum tindakan pemutihan dilakukan.
"Di bawah Seksyen 64 Akta Koperasi 1993, SKM boleh memanggil dan memeriksa tanpa notis koperasi yang berstatus dorman ini. Mereka (koperasi berstatus dorman) mungkin sudah lama ditubuhkan dan ada juga koperasi yang mempunyai aset.
"Kita akan melihat laporan penuh yang dikemukakan oleh pegawai SKM dan boleh mengambil alih aset koperasi tersebut selepas ditutup atau dibatalkan untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Koperasi Sukarelawan Rakyat Selangor Berhad (KRiiS) di De Palma Eco Resort, di sini hari ini.
Koperasi berstatus tidak aktif ialah koperasi yang tidak menjalankan sebarang aktiviti dalam tempoh tiga tahun berturut-turut tetapi masih mengadakan mesyuarat agung tahunan atau akaunnya diaudit dalam tempoh tersebut.
Bagi koperasi berstatus dorman ia koperasi yang tidak menjalankan sebarang aktiviti dan tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan serta akaunnya tidak diaudit bagi tempoh melebihi tiga tahun.
Noh berkata bagi koperasi yang berstatus tidak aktif dan ingin kembali aktif, boleh memohon peruntukan daripada SKM yang turut menyediakan bantuan geran dan pinjaman.
-- BERNAMA
#koperasi #tidak aktif #dorman #Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi #Noh Omar #Suruhanjaya Koperasi Malaysia #SKM
;