Hampir 4,000 penjawat awam Pulau Pinang terima bonus setengah bulan gaji

Astro Awani
November 24, 2023 14:10 MYT
Chow berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang amat bertuah memiliki barisan penjawat awam yang berdedikasi, berintegriti dan komited dalam memastikan dasar-dasar kerajaan dilaksanakan secara berkesan. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 untuk semua penjawat awam di negeri itu.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, bayaran bonus kepada 3,867 penjawat awam negeri itu akan dibuat bulan Disember ini.
Katanya, pemberian bonus yang akan melibatkan jumlah keseluruhan kewangan hampir RM6.046 juta itu diharap dapat meningkatkan semangat penjawat awam dalam menjalankan tugas mereka.
Menurutnya, kerajaan negeri amat bertuah kerana memiliki barisan penjawat awam yang berdedikasi, berintegriti dan komited dalam memastikan dasar-dasar kerajaan dilaksanakan secara berkesan.
Seperti tahun sebelumnya, kata Chow, pemberian sebanyak RM300 seorang juga akan disalurkan kepada penyelia dan guru KAFA, guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, guru Sekolah Menengah Agama Rakyat dan guru serta staf Sekolah Persendirian Cina.
Pada masa sama, guru tahfiz, guru pondok dan guru tadika Islam negeri turut mendapat bayaran sama melibatkan tambahan perbelanjaan berjumlah hampir RM1.006 juta.
"Semua bayaran BKK dan pemberian keseluruhan berjumlah lebih RM7.051 juta ini akan dibuat pada bulan Disember 2023," tambahnya.
Chow berkata, kerajaan negeri beriltizam meneruskan aspirasi dan gagasan Visi Penang 2030 ke arah merealisasikan Pulau Pinang sebagai negeri pintar dan hijau berteraskan keluarga inspirasi negara.
"Bajet 2024 disediakan berdasarkan prinsip ‘outcome’ dengan menitikberatkan keberhasilan kepada setiap perancangan negeri demi kesejahteraan rakyat.
"Walaupun menyedari limitasi kemampuan fiskal negeri yang memperlihatkan jurang defisit yang semakin melebar, kerajaan negeri tetap komited merangka dan melaksanakan projek serta program untuk memacu pertumbuhan sosio ekonomi negeri\.
"Dan seterusnya memastikan Visi Penang 2030 berada pada landasan yang betul," katanya sewaktu membentangkan Bajet 2024 Pulau Pinang pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
#penjawat awam #bonus #DUN Pulau Pinang #Chow Kon Yeow
;